Seorang ibu bersama dua anak lelakinya maut selepas rumah teres dua tingkat yang didiami mereka terbakar dalam kejadian malam tadi di Taman Titiwangsa, Kluang.

Mangsa dikenal pasti sebagai Noraini Ibrahim, 49, serta dua anaknya, Khairul Nurhaziqq Khairulnizam, 18, dan Khairul Nurhadiff Khairulnizam, 11.

Kebakaran Taman Titiwangsa Ragut Nyawa Ibu Dan Dua Anak, Dua Beradik Ditemui Berpelukan

Lebih menyayat hati, dua beradik itu ditemukan di tingkat atas rumah berhampiran tingkap dalam keadaan berpelukan ketika pemeriksaan dijalankan selepas kebakaran. Menurut seorang jiran yang enggan dikenali, keadaan kedua-dua beradik tersebut ketika ditemukan cukup memilukan.

“Menyayat hati, kasih abang peluk adik. Kedua-duanya ditemui di tingkat atas rumah berhampiran tingkap,” katanya ketika dihubungi. Noraini difahamkan merupakan isteri kepada Khairul Nizam Wahid, yang turut dikenali sebagai Yon Catering.

Dalam kejadian itu, sepasukan anggota dan pegawai bomba bersama jentera dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan. Memetik laporan Sinar Harian, jentera pertama tiba di lokasi sekitar 10.49 malam, sebelum operasi pemadaman dilakukan.

Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Md Nor berkata, ketika Pasukan Keluaran Operasi tiba di lokasi, rumah teres dua tingkat tersebut sedang terbakar. Kemusnahan pada kediaman berkenaan dianggarkan sekitar 50 peratus.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mayat kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom untuk tindakan lanjut.

Penemuan dua beradik dalam keadaan berpelukan berhampiran tingkap turut menambahkan kesedihan tragedi tersebut, ketika mereka dipercayai berdepan detik cemas akibat kebakaran yang berlaku. Kehilangan Noraini bersama dua anaknya pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga serta insan terdekat.

Salam takziah buat seluruh keluarga mangsa. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan tiga ahli keluarga dalam tragedi ini.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]