Keluarga Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, mengambil keputusan untuk tidak melihat keadaan jasad Allahyarham selepas memahami situasi susulan nahas helikopter yang meragut lima nyawa berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, kelmarin.
![]()
Keluarga Kapten Zainol Afiq Pilih Tak Lihat Jasad, Reda Dengan Apa Yang Berlaku
Bapa Allahyarham, Bee Sham Ahmad, 59, berkata beliau dan keluarga reda dengan apa yang berlaku serta memilih untuk tidak melihat jasad anaknya kerana sudah dapat membayangkan keadaan mangsa selepas tragedi berkenaan.
Menurutnya, keluarga kini hanya mahu memastikan segala urusan berkaitan pengenalpastian dan penghantaran jenazah ke Negeri Sembilan berjalan lancar.
“Saya dan keluarga juga membuat keputusan untuk tidak melihat keadaan jasad Allahyarham kerana memahami keadaannya dan cukup sekadar mengetahui keadaan serta situasi ketika terhempas. Kami memilih untuk tidak melihat keadaan mayat Allahyarham kerana kita sudah anggarkan apa yang berlaku. Kami reda semuanya,” katanya ketika dihubungi.
Bee Sham yang menetap di Senawang berkata, beliau bersama isteri dan besan masih berada di Miri bagi menguruskan beberapa perkara termasuk proses bedah siasat serta pengecaman asid deoksiribonukleik (DNA).
![]()
Katanya, sampel DNA beliau dan isterinya telah diambil, namun dimaklumkan proses berkenaan masih belum diteruskan ke Kuching kerana bedah siasat masih berlangsung.
“Semalam DNA saya dan isteri sudah diambil, tapi saya difahamkan yang ia masih belum dihantar jadi proses itu kemungkinan ambil masa. Apabila keputusan DNA itu sudah diperoleh barulah saya boleh tahu bila kami boleh bawa pulang jenazah Allahyarham ke Negeri Sembilan. Mungkin kena tunggu hingga empat hari lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Bee Sham berkata pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menawarkan bantuan bagi urusan membawa pulang jasad Allahyarham, selain pihak syarikat tempat anaknya bekerja turut menawarkan khidmat mereka. Beliau turut memohon orang ramai agar terus mendoakan supaya semua urusan, khususnya proses membawa pulang jenazah Allahyarham ke Negeri Sembilan, dipermudahkan.
Bee Sham pada masa sama merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan ucapan takziah dan mendoakan keluarganya.
![]()
Sebelum ini, media melaporkan identiti kesemua lima mangsa yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas dan terbakar berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, kelmarin berjaya dikenal pasti pihak berkuasa melalui pengecaman barangan peribadi yang ditemui pada jasad mereka.
Selain Kapten Zainol Afiq, mangsa lain ialah Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; dua Jururawat Masyarakat (SN), Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44; serta Pembantu Pegawai Perubatan (MA), Alexson Adit Henry, 31.
Kesemua mangsa maut dalam nahas berkenaan, manakala keluarga kini menantikan penyelesaian proses bedah siasat dan pengecaman DNA sebelum urusan seterusnya termasuk membawa pulang jenazah dapat dilakukan.
Kredit: Berita Harian