Penyanyi dan pelakon Amira Othman masih mengambil pendekatan berhati-hati dalam berkongsi kehidupan peribadi anak sulungnya, Muhammad Jarir Umar, khususnya mengenai wajah cahaya mata berkenaan kepada umum.

Belum Masa Dedah Wajah Anak, Amira Othman Mahu Lindungi Muhammad Jarir Umar Daripada Perhatian Umum

Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 33, berkata dia percaya ada masa yang lebih sesuai untuk memperkenalkan wajah anaknya kepada peminat dan tidak mahu perkara itu dilakukan terlalu awal.

Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan anaknya dapat membesar dan menikmati kehidupan seperti kanak-kanak lain tanpa terlalu terkesan dengan perhatian daripada orang ramai.

“InsyaAllah bila sesuai pada waktunya nanti, kita pasti akan kongsikan kepada peminat. Bagi saya biarlah dia melalui kehidupan kanak-kanak seperti yang lain asalkan dia dipelihara. Maklumlah mak dan ayah dia ada ‘haters’.

“Jadi saya harap perkara itu tidak melibatkan dialah, apa-apa pun kita sentiasa berdoa yang baik-baik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Top 5 Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25), Rabu.

Dalam perkembangan lain, Amira turut berkongsi pengalamannya melalui proses kelahiran secara pembedahan serta pandangannya mengenai pilihan kaedah bersalin dan penyusuan.

Katanya, setiap ibu mempunyai keadaan serta pilihan masing-masing dan perkara paling utama adalah memberikan yang terbaik mengikut kemampuan demi menjaga kesihatan serta keselamatan anak.

“Saya buat pembedahan. Tetapi saya selalu beritahu terutama bila buat sesi siaran langsung, tak kisahlah bersalin secara pembedahan atau normal, susu formula atau susu badan. Yang penting kita dapat beri apa yang termampu untuk melindungi anak,” katanya.

Amira turut mendedahkan dia berusaha mematuhi pantang selepas bersalin seperti yang ditekankan ibunya yang agak tegas dalam soal berkenaan. Menurutnya, antara perkara yang paling dititikberatkan sepanjang tempoh tersebut adalah menjaga emosi dan mengelakkan tekanan, selain sentiasa bertenang seperti yang sering dinasihatkan suaminya.

“Ibu saya agak tegas, jadi saya memang ikut pantang betul-betul dan paling penting tidak mahu stres. Suami pun selalu pesan supaya sentiasa bertenang dan jangan tertekan,” katanya.

Untuk rekod, Amira dan pelakon Fattah Amin selamat diijabkabulkan pada 14 September 2025.

Pasangan itu kemudiannya menerima cahaya mata pertama apabila Amira selamat melahirkan Muhammad Jarir Umar pada 23 Jun lalu.

Kredit: OhBulan!

 

[fbcomments]