Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 34 tahun selepas menerima 11 laporan berkaitan kerosakan kenderaan di kawasan parkir berhampiran The Exchange TRX, Kuala Lumpur.
![]()
11 Laporan Diterima, Lelaki Warga Asing Ditahan Disyaki Calarkan Kenderaan Di Parkir TRX
Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Nuzulan Mohd Din berkata, suspek yang dipercayai gelandangan itu ditahan petang kelmarin di kawasan berhampiran pusat beli-belah berkenaan. Menurutnya, siasatan dijalankan selepas seorang pemilik kenderaan membuat laporan apabila mendapati keretanya mengalami kesan calar selepas diparkir di kawasan tersebut.
Katanya, pengadu meletakkan kenderaan jenis Zeekr 7X di kawasan parkir kira-kira jam 9.30 pagi sebelum masuk ke TRX. Namun, ketika kembali kira-kira jam 12.15 tengah hari, pengadu mendapati terdapat kesan calar pada bahagian bonet kenderaannya.
“Hasil siasatan mendapati kenderaan berkenaan dipercayai dicalarkan suspek menggunakan objek tumpul, manakala kerugian bagi kenderaan terbabit dianggarkan kira-kira RM3,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
![]()
Nuzulan berkata, setakat ini polis menerima 11 laporan berkaitan kejadian berkenaan, termasuk tiga laporan yang dibuat oleh pihak pengurusan TRX.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan menggunakan objek tumpul untuk mencalarkan kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir tersebut.
Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Suspek juga akan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan mental,” katanya.
Kredit: Harian Metro