Seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kematian anak saudaranya, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, dalam kejadian di Kampung Padang, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, pagi Isnin.
![]()
Kanak-Kanak 5 Tahun Maut Selepas Dipercayai Dicampak Ke Sungai
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, sebelum ditahan, lelaki berkenaan dipercayai mencampakkan kanak-kanak itu ke dalam sungai. Suspek kemudian mengamuk dan mengejar seorang lelaki berusia 40 tahun menggunakan parang.
Polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.30 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi berdasarkan maklumat yang diterima. Ketika cuba menahan suspek, berlaku pergelutan sehingga menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan. Suspek bagaimanapun berjaya diberkas.
![]()
Dalam pada itu, kematian kanak-kanak berkenaan disahkan oleh pembantu pegawai perubatan. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kota Tinggi dan dijangka dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pasir Gudang untuk proses bedah siasat.
Yusof berkata, suspek dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental. Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kredit: BERNAMA