Seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang memandu sebuah lori secara berbahaya sebelum dikejar kereta peronda polis di Pasir Gudang semalam didapati mempunyai 27 rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

Lori Dicuri Dikejar Polis, Suspek Rupanya Ada 27 Rekod Jenayah

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, lelaki berkenaan ditahan selepas polis menerima maklumat orang awam mengenai sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang. Menurutnya, polis kemudian mengesan lori terbabit namun suspek enggan memberhentikan kenderaan itu dan terus melarikan diri secara berbahaya.

“Suspek turut memandu secara berbahaya ketika cuba melarikan diri dan melanggar kereta peronda polis. Suspek, lelaki tempatan berusia 30-an, kemudiannya berjaya ditahan di kawasan Pasir Gudang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Hasil pemeriksaan terhadap suspek turut menemukan satu paket lutsinar yang mengandungi bahan disyaki dadah. Ujian saringan awal air kencing juga mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine. Semakan lanjut mendapati lori yang dipandu suspek itu merupakan kenderaan berat yang dilaporkan hilang di kawasan Plentong.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah berbahaya serta Seksyen 15(1) akta sama kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan.

Mohd Sohaimi berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Johor Bahru hari ini bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan.

Sebelum itu, beberapa rakaman video memaparkan aksi sebuah kereta peronda polis mengejar lori yang dipandu secara berbahaya tular di media sosial semalam.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]