Seorang suri rumah berusia 50 tahun ditahan selepas dipercayai menyamar sebagai pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi menawarkan khidmat menguruskan permit kerja warga asing.
Wanita yang juga ibu kepada lima anak itu ditahan Bahagian Penguatkuasaan JIM Melaka menerusi Ops Serkap kira-kira jam 6 petang Selasa ketika sedang bertemu seorang warga China di sebuah kafe di Taman Malim Jaya.
![]()
Menyamar Pengarah Kanan Imigresen, Suri Rumah Kaut RM6,000 Satu Job
Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, suspek dipercayai menjalankan kegiatan tersebut sejak lebih setahun lalu dan bergerak di sekitar Melaka tanpa lokasi tetap bagi mengelakkan aktivitinya dikesan pihak berkuasa.
Menurutnya, suspek menggunakan pakaian seragam lengkap termasuk pangkat dan lencana, selain kad pengenalan Imigresen palsu untuk meyakinkan individu yang mendapatkan khidmatnya. Malah, ketika ditahan, suspek beberapa kali cuba meyakinkan anggota penguat kuasa bahawa dirinya merupakan pegawai kanan Imigresen.
“Hasil serbuan, JIM merampas sebuah Honda Civic, tiga telefon bimbit, sepasang pakaian seragam hitam lengkap aksesori, tanda pangkat pegawai kanan, collar badge, lencana Integriti, tanda nama, ribbon perkhidmatan, lencana dan kasut kerja. Turut dirampas dua tudung kelabu, dua helai baju-T hitam berlogo JIM, sekeping kad pengenalan JIM yang dipalsukan, cop nama, surat kelulusan menggunakan kepala surat JIM serta dua set surat keputusan makmal,” katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ayer Keroh.
![]()
Siasatan awal mendapati wanita terbabit dipercayai menyamar sebagai dua pegawai kanan JIM iaitu Ketua Pengarah Integriti dan Pengarah Kanan Imigresen di ibu pejabat. Suspek juga dipercayai menawarkan perkhidmatan berkaitan permohonan pas kerja warga asing dan mampu menerima bayaran sehingga RM6,000 bagi urusan berkenaan.
Bagi menguatkan penyamarannya, suspek turut menggunakan media sosial dengan memuat naik gambar dirinya memakai pakaian seragam Imigresen bagi meyakinkan individu yang mendapatkan perkhidmatannya.
Susulan penahanan itu, suspek direman selama empat hari di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 56(1)(k) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.
Kredit: Malaysia Gazette