Baru-baru ini tular sebuah video yang memaparkan individu mirip Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, sedang memarahi seorang individu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam rakaman berkenaan, kepala individu terbabit turut kelihatan dipegang dengan agak keras, selain turut tular salinan dakwaan daripada seorang individu yang mendakwa dirinya telah dikasari Mohd Shuhaily.
![]()
Video Tular Di KLIA, Mohd Shuhaily Sedia Terima Apa Jua Keputusan Kerajaan
Susulan perkara itu, Mohd Shuhaily menyatakan beliau bersedia menerima apa sahaja keputusan atau tindakan kerajaan berhubung insiden berkenaan. Beliau berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada pihak tertinggi kerajaan dan kementerian sebelum menyerahkan sepenuhnya siasatan lanjut kepada pihak berkuasa supaya ia dapat diselesaikan secara adil.
“Saya telah memaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan dan juga kementerian mengenai perkara ini. Justeru, apa jua keputusan mereka, saya terima. Bagi saya, untuk mengubah sesuatu ia mempunyai harga. Sekiranya harga itu adalah diri saya, maka saya bayar dengan diri saya,” katanya pada sidang akhbar, Khamis.
Beliau turut mengakui dirinya tidak sempurna dan bersedia berdepan dengan sebarang implikasi susulan kejadian tersebut. Mohd Shuhaily pada masa sama berharap apa jua keputusan yang dibuat kerajaan terhadap dirinya tidak akan menjejaskan pasukan AKPS kerana agensi itu merupakan tulang belakang kepada usaha memperkukuh keselamatan di pintu masuk negara.
![]()
Menjelaskan mengenai kejadian tersebut, Mohd Shuhaily berkata ia berlaku ketika beliau bersama beberapa pegawai menjalankan penguatkuasaan terhad di aras lima KLIA. Operasi itu dilakukan selepas beliau membuat tinjauan bagi melihat persediaan AKPS menghadapi kemasukan pengunjung sempena perlumbaan Formula 1 pada hujung minggu ini.
Penguatkuasaan tersebut turut dijalankan susulan aduan berkaitan kegiatan sindiket ‘ulat’ warga asing serta peningkatan penemuan dadah dan barangan kontraban di kawasan pemeriksaan bagasi. Dalam operasi berkenaan, seorang warga asing yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket ‘ulat’ ditahan sebelum dibawa ke bilik pemeriksaan bagasi untuk ditemu bual.
Ketika sesi berkenaan sedang berlangsung, dua individu yang tidak dikenali datang dan merakam kejadian tersebut. Menurut Mohd Shuhaily, selepas pegawainya mendekati kedua-dua individu itu dan membawa mereka ke hadapan untuk melihat rakaman yang dibuat, arahan diberikan supaya rakaman tersebut dipadam.
Beliau berkata, ketika itu beliau turut memberikan amaran tegas bahawa penguatkuasaan yang sedang dijalankan hanya melibatkan pegawai AKPS bersama pasukan Aviation Security (AVSEC) KLIA.
![]()
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily menegaskan beliau mahu memastikan KLIA bebas daripada kegiatan ‘ulat’ warga asing dan tidak berubah menjadi lokasi yang dipengaruhi kegiatan sedemikian.
“Saya tidak mahu KLIA jadi macam Selayang,” katanya.
Menurutnya, penubuhan AKPS bukan sekadar memenuhi syarat, sebaliknya agensi berkenaan diberikan amanah dengan objektif jelas untuk menjamin keselamatan serta membanteras elemen jenayah di pintu masuk negara.
Beliau turut menghargai sokongan yang diterima daripada pelbagai pihak yang menggesanya meneruskan usaha memperbaiki keselamatan pintu masuk negara. Sokongan tersebut, katanya, menjadi dorongan kepada dirinya dan warga AKPS untuk terus mempertingkatkan aspek keselamatan serta prasarana di pintu masuk negara.
Mohd Shuhaily menegaskan usaha berkenaan akan diteruskan selaras dengan tanggungjawab yang diberikan kepada AKPS, sambil menjelaskan bahawa penubuhan agensi tersebut mempunyai tujuan khusus dalam memperkukuh keselamatan pintu masuk negara.
Kredit: Sinar Harian