Kehilangan anak perempuan berusia lima tahun dalam kemalangan jalan raya menjadi dugaan besar buat Ahmad Syahir Mohammad Nor Izam.
Walaupun menerima pemergian anaknya, Asiah Ahmad Syahir, yang maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching pada Sabtu lalu, beliau berharap pihak yang bertanggungjawab dapat dikenakan tindakan sewajarnya.
![]()
Bapa Kanak-Kanak Maut Dalam Kemalangan Enam Kenderaan Mahu Keadilan Ditegakkan
Ahmad Syahir menegaskan bahawa beliau tidak berniat menyimpan dendam terhadap mana-mana pihak, sebaliknya mahu proses siasatan dan perundangan berjalan dengan telus demi memastikan keadilan dapat diberikan kepada keluarganya.
“Saya tak dapat minta anak saya kembali, apa yang saya minta hanyalah keadilan,” katanya.
Mengimbas kejadian itu, Ahmad Syahir yang bertugas sebagai bilal berkata, beliau bersama isteri dan dua anak mereka sedang dalam perjalanan pulang ke kediaman di Sungai Pencala selepas meluangkan masa di Keramat. Mereka ketika itu mahu pulang segera kerana beliau perlu melaungkan azan Asar, namun perjalanan tersebut berakhir dengan tragedi yang meragut nyawa anak perempuan mereka.
![]()
Menurutnya, beliau dan isteri masih berada dalam keadaan sedar selepas kemalangan berlaku, sekali gus membolehkan mereka mengawal keadaan dan cuba mengambil tindakan yang sewajarnya ketika berdepan situasi cemas itu.
Dalam pada itu, Ahmad Syahir berharap kes berkenaan diselesaikan menerusi saluran undang-undang dan dapat menjadi pemangkin kepada penambahbaikan dalam pengendalian kes kemalangan maut. Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap kes-kes terdahulu, termasuk kejadian langgar lari yang mengakibatkan kematian, apabila ada mangsa yang menurutnya masih belum mendapat pembelaan sewajarnya.
![]()
Beliau berharap pelaksanaan undang-undang di Malaysia dapat membuktikan bahawa sistem perundangan negara berfungsi secara adil dan telus, tanpa mengira pihak yang terlibat.
Kredit: Sinar Harian