Seorang penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berusia 20 tahun maut dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan kembali ke kampus selepas menziarahi pusara ibunya di Kuala Selangor, Selangor, pada Selasa.
![]()
Penuntut UTeM Maut Kemalangan Ketika Pulang Ke Kampus Selepas Ziarah Pusara Ibu
Mangsa, Nurul Fatehah Alya Kamaruaf’fandi, yang merupakan pelajar tahun dua universiti berkenaan, dipercayai hilang kawalan ketika menunggang motosikal jenis Honda Vario 160 di Kilometer 211.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, kira-kira jam 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai terbabas sebelum melanggar penghadang jalan di sebelah kiri lebuh raya.
Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke lorong kecemasan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Dalam perkembangan berkaitan, UTeM menerusi satu kenyataan menzahirkan rasa sedih atas pemergian Allahyarhamah serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang sedang menghadapi kehilangan insan tersayang.
![]()
Pihak universiti turut mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan keluarganya diberikan kekuatan serta ketabahan untuk melalui saat sukar itu. Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UTeM turut membantu menguruskan jenazah Allahyarhamah sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Bagan Datuk, Perak, untuk urusan pengebumian.
Selain bantuan pengurusan jenazah, universiti berkenaan turut menyalurkan sumbangan khairat kematian sebanyak RM2,000. UTeM juga membantu keluarga mangsa menguruskan tuntutan Insurans Kelompok Pelajar berjumlah RM21,500 serta khairat kematian daripada Yayasan Perkasa Siswa sebanyak RM2,000.
Kes kemalangan itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan pihak polis.
Kredit: Berita Harian, UTeM