Seorang bekas pemandu e-hailing, Chan Wen Jie, 32, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas mengaku bersalah mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun pada 2022.

Mahkamah Tolak Alasan Mahu Mendidik, Lelaki Dipenjara Kerana Derа Kanak-Kanak Hingga Paksa Makan Najis

Hukuman itu diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Fareed Abdul Gapoor, bagi pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tersebut berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 3 Oktober 2022.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipertimbangkan dalam penghakiman, tertuduh melakukan beberapa perbuatan penderaan terhadap mangsa, termasuk menghentak kepalanya, memaksanya melakukan ketuk ketampi, menyuruhnya berdiri dalam tempoh yang lama serta merotannya. Lebih mengejutkan, kanak-kanak itu turut dipaksa memakan najis sendiri yang terdapat dalam lampin pakai buang.

Dalam penghakimannya, Abdul Fareed menyifatkan perbuatan tersebut sebagai kejam, tidak bertamadun dan menjatuhkan maruah mangsa. Mahkamah menegaskan tindakan itu bukan kaedah mendidik kanak-kanak, sebaliknya merupakan penderaan melampau terhadap seorang kanak-kanak yang tidak berupaya mempertahankan dirinya.

Mahkamah turut menolak alasan pembelaan bahawa tertuduh bertindak sedemikian untuk mendidik mangsa, seperti yang dilakukannya terhadap anak sendiri.

Tertuduh juga dianggap telah mengkhianati kepercayaan bapa mangsa yang menyerahkan tanggungjawab penjagaan kanak-kanak itu kepadanya. Menurut mahkamah, jika tidak mampu menjalankan tanggungjawab berkenaan, tertuduh sepatutnya menyerahkan semula mangsa kepada bapanya.

Selain hukuman penjara, mahkamah mengenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan seorang penjamin tanpa cagaran. Tertuduh turut diperintahkan menjalani kerja komuniti selama 36 jam dalam tempoh tidak melebihi enam bulan.

Mahkamah bagaimanapun tidak mengambil kira pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang telah ditarik balik, mahupun punca kematian mangsa, ketika menentukan hukuman bagi pertuduhan pilihan.

Terdahulu, Chan didakwa di Mahkamah Majistret pada 13 Oktober 2022 atas pertuduhan membunuh Lee See Jie, 3, di sebuah rumah di Jalan Ria 2, Taman Skudai Ria, Skudai. Kesalahan itu didakwa berlaku antara jam 8 malam hingga 8.30 malam pada 2 Oktober 2022.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong dan Nordiana Zubir, manakala tertuduh diwakili peguam K Sarawanakumar.

Kredit: Buletin TV3

[fbcomments]