Seorang lelaki berusia 37 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada Isnin atas tuduhan membunuh isterinya, Norhazwani Ibrahim, 35, yang bertugas sebagai pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Kejadian itu dipercayai berlaku di kediaman pasangan berkenaan di Kompleks Perumahan Penjawat Awam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Nilai, kira-kira jam 7 malam pada 15 Oktober lalu.
![]()
Suami Didakwa Bunuh Isteri, Pegawai AKPS Di Kompleks Perumahan Penjawat Awam KLIA
Tertuduh, Mohd Khairudin Safi’ai, mengangguk sebagai tanda memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan membunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Mohd Khairudin didakwa menyebabkan kematian Norhazwani di sebuah rumah di kompleks perumahan berkenaan. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun. Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh juga boleh dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
![]()
Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 22 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.
Terdahulu, Norhazwani dilaporkan maut dipercayai ditikam suaminya di kediaman mereka pada 15 Oktober lalu. Pasangan itu difahamkan sedang dalam proses perceraian dan mempunyai dua orang anak berusia lima dan enam tahun. Tertuduh juga dilaporkan menyerah diri selepas kejadian, manakala kedua-dua anak mereka kini dijaga oleh adik mangsa di Kelantan.
Kredit: Sinar Harian