Baru-baru ini tular sebuah video memaparkan sekumpulan anggota bomba dan sukarelawan di Kabupaten Banjar, Kalimantan Selatan, Indonesia, melakukan sujud syukur ketika hujan mula membasahi kawasan berkenaan.
Detik menyentuh hati itu dirakam ketika mereka masih mengenakan pakaian perlindungan selepas berbulan-bulan bertungkus-lumus memadamkan kebakaran hutan dan tanah.
![]()
Selepas 100 Hari Tanpa Hujan, Pasukan Bomba Kalimantan Sebak Sambut Hujan
Memetik laporan Tribun News, hujan yang turun pada petang hari berkenaan disambut penuh kesyukuran oleh petugas beragama Islam yang dilihat saling berpegangan tangan sebelum melakukan sujud syukur bersama-sama.
Kegembiraan mereka jelas kelihatan selepas kawasan itu dan sekitarnya dilaporkan mengalami cuaca kering tanpa hujan selama lebih 100 hari, sekali gus menyukarkan usaha memadamkan kebakaran yang turut menyebabkan jerebu teruk.
![]()
Difahamkan, pasukan berkenaan bertugas di kawasan sempadan Desa Kaliukan dan Sungai Alat, Kecamatan Astambul, Kabupaten Banjar. Mereka telah berusaha memadamkan kebakaran selama kira-kira empat bulan sebelum hujan tersebut membawa kelegaan kepada petugas di lapangan.
Berdasarkan rekod bagi tempoh 1 hingga 14 Oktober lalu, kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Selatan telah menjejaskan kawasan seluas 1,754.30 hektar. Kabupaten Banjar mencatatkan kawasan terbakar paling luas, iaitu 530.61 hektar.
Kredit: Tribun News, Thread diarialma