Seorang pramugara, Mohd Iman Nafiz Fong Mohd Sabirin, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Isnin atas dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan seorang lelaki maut dan seorang lagi cedera.

Pramugara Mengaku Tidak Bersalah Pandu Mabuk Hingga Mautkan Penyelia Baru Kahwin

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu kereta Ford Focus Sport dengan kandungan alkohol dalam darah sebanyak 64 miligram bagi setiap 100 mililiter, melebihi had undang-undang sebanyak 50 miligram bagi setiap 100 mililiter. Perbuatan itu didakwa menyebabkan kematian Faris Irfan Fazli, 29, dalam kejadian di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Jalan Parlimen, Kuala Lumpur, pada jam 4.09 pagi, 24 Oktober lalu.

Pertuduhan berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020). Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000. Dia juga boleh hilang kelayakan untuk memegang atau mendapatkan lesen memandu selama sekurang-kurangnya 10 tahun dari tarikh sabitan.

Tertuduh turut berdepan pertuduhan kedua kerana didakwa memandu kenderaan sama di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan Ahmad Zakiyamani Zakaria @ Yusuff, 49, mengalami kecederaan dalam kejadian yang sama. Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 44(1A)(b) akta berkenaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun serta denda RM30,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan. Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama sekurang-kurangnya 10 tahun.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry mencadangkan jaminan sebanyak RM25,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. Pihak pendakwaan turut memohon supaya lesen memandu tertuduh digantung dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah bagi mengurangkan risiko melarikan diri, memandangkan pekerjaannya sebagai pramugara memerlukan perjalanan ke luar negara.

Bagaimanapun, peguam Mohd Anif Rafih yang mewakili tertuduh memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan kepada RM15,000 bagi setiap pertuduhan. Pihak pembelaan tidak membantah permohonan penggantungan lesen memandu, tetapi menolak cadangan penyerahan pasport atas alasan dokumen itu diperlukan untuk menjalankan tugasnya.

 

Peguam turut memaklumkan bahawa anak guamnya masih bujang dan menanggung keluarga, termasuk bapanya yang menghidap penyakit jantung serta memerlukan rawatan susulan di hospital. Sebagai alternatif kepada penyerahan pasport, pihak pembelaan mencadangkan supaya tertuduh diwajibkan melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM35,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin. Majistret turut memerintahkan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai dan mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis sebulan sekali. Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 November ini.

Kredit: BERNAMA

 

[fbcomments]