Satu peristiwa meruntun hati apabila seorang wanita berkongsi detik menyedihkan ketika menerima berita pemergian anak saudaranya, Nur Tasnim Deandra, atlet sofbol muda Kedah yang dilaporkan maut dalam nahas jalan raya.
![]()
Baru Mulakan Siaran Langsung, Ibu Saudara Terdengar Jeritan Bawa Berita Duka Nur Tasnim
Ibu saudara Allahyarhamah, Puan Nurul, menceritakan bahawa dia baru sahaja memulakan siaran langsung bagi menguruskan perniagaannya sebelum terdengar jeritan yang memaklumkan mengenai kejadian menimpa Nur Tasnim.
Berita mengejutkan itu membuatkan Puan Nurul sukar menerima kenyataan apabila mengetahui ahli keluarganya sendiri terlibat dalam insiden berkenaan. Menerusi perkongsiannya, dia meluahkan perasaan dengan menggambarkan keadaan dirinya yang lemah lutut sebaik mendengar berita duka itu.
![]()
Lebih memilukan, Puan Nurul turut mengimbas kembali satu kejadian sebelum ini apabila Nur Tasnim pernah menyampaikan berita mengenai insiden yang menimpa bapanya. Namun, siapa sangka keadaan seakan-akan berulang, kali ini apabila berita yang diterimanya melibatkan pemergian anak saudaranya sendiri.
Dalam perkongsian tersebut, Puan Nurul meluahkan kesedihannya menerusi kata-kata, “Hari ini, orang lain bawa berita awak pula… Lemah lutut kelam dunia.” Luahan itu menggambarkan betapa beratnya perasaan yang ditanggung ketika berdepan kehilangan insan tersayang secara mengejut.
![]()
Untuk rekod, Nur Tasnim merupakan atlet sofbol Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kedah bagi kategori Perempuan Bawah 18 Tahun (P18). Allahyarhamah aktif dalam sukan sofbol sehingga ke peringkat kebangsaan dan disifatkan sebagai antara permata sukan Kedah, menjadikan pemergiannya satu kehilangan besar buat arena sukan negeri itu.
Berita pemergian Nur Tasnim turut disahkan menerusi perkongsian wakil Majlis Sukan Negeri Kedah yang menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah. Wakil berkenaan turut menziarahi keluarga Nur Tasnim di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.
Kredit: Facebook Cik Puan Nurul