Insiden bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang merempuh bongkah konkrit ketika mengejar sebuah bot disyaki membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Sungai Padang pada 27 Oktober lalu kini memasuki proses perbicaraan apabila dua lelaki warga Thailand didakwa atas pertuduhan membunuh seorang anggotanya.
![]()
Dua Lelaki Thailand Didakwa Bunuh Anggota Maritim Malaysia Ketika Kejar Bot PATI
Kedua-dua tertuduh, Pradit Rimat, 22, dan Rotchahan Tehpuyu, 21, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Mahkamah Majistret pada Khamis.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama dengan niat melakukan pembunuhan terhadap Laskar Kelas I Maritim, Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41. Perbuatan itu didakwa berlaku berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Sungai Padang, antara jam 11 malam pada 26 Oktober hingga 1.30 pagi keesokan harinya.
Kedua-dua lelaki yang berasal dari Wilayah Satun itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun jika sabit kesalahan. Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, mereka juga boleh dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
![]()
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maritim Malaysia, Wirna Arifin dan Kamaliza Md Zain, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 5 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula bagi membolehkan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan laporan kimia dan bedah siasat.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, kedua-dua tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan membawa sembilan migran warga Myanmar yang diseludup menggunakan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran.
Pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid dan kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di hadapan muara Sungai Padang antara jam 11 malam pada 26 Oktober hingga 12.30 tengah malam, 27 Oktober lalu.
![]()
Mereka didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum lima tahun, didenda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya sekali.
Pradit dan Rotchahan turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Akta Imigresen 1959/63. Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon supaya tarikh sebutan baharu ditetapkan bagi melengkapkan dokumen berkaitan daripada Jabatan Imigresen.
Pada masa sama, tujuh individu warga Myanmar termasuk seorang wanita berusia antara 22 hingga 43 tahun turut berdepan pertuduhan cuba memasuki Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan. Mereka didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.
![]()
Dalam kejadian pada 27 Oktober lalu, lima anggota Maritim Malaysia tercampak dari bot peronda selepas kapal yang dinaiki mereka melanggar bongkah konkrit tinggalan jeti lama ketika mengejar sebuah bot yang disyaki membawa PATI.
Insiden yang berlaku kira-kira jam 11.30 malam di perairan Sungai Padang itu mengorbankan Mohd Roshaimi selepas mangsa dipercayai terhantuk pada bongkah konkrit berkenaan.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Sajaratul Akmal Abdul Shukor, 41, serta dua orang anak masing-masing berusia 14 dan 11 tahun.
Kredit: Harian Metro