Rakaman seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima yang didakwa berada dalam keadaan khayal ketika berada di dalam kelas sebuah sekolah menengah di Nilai, Negeri Sembilan, mencetuskan perhatian selepas tersebar di media sosial.

Lebih mengejutkan, ujian saringan awal air kencing terhadap pelajar berkenaan mendapati dia positif tiga jenis dadah iaitu ketamin, benzodiazepin (Benzo) dan THC.

Pelajar Tingkatan 5 Didakwa Khayal Dalam Kelas, Ujian Air Kencing Positif Tiga Jenis Dadah

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai video yang dimuat naik di platform Threads pada 4 November lalu, memaparkan seorang pelajar disyaki berada dalam keadaan khayal akibat penggunaan vape.

Susulan penularan rakaman itu, polis menjalankan siasatan sebelum berjaya mengenal pasti pelajar terbabit. Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 28 Oktober lalu di sebuah sekolah menengah di Nilai. Bagaimanapun, Alzafny menjelaskan keputusan ujian saringan awal tersebut masih perlu melalui proses pengesahan lanjut.

Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu sebelum pelajar berkenaan dirujuk kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Terdahulu, video berdurasi pendek itu mengundang pelbagai reaksi selepas memaparkan pelajar lelaki berkenaan berdiri dalam keadaan membongkok dengan kepala tertunduk berhampiran sebuah meja. Keadaannya yang kelihatan tidak stabil turut disedari beberapa pelajar lain yang berada di dalam kelas.

Hantaran tersebut turut disertakan kapsyen yang mempersoalkan tingkah laku pelajar sekolah ketika ini, selain mengundang kebimbangan orang ramai terhadap kemungkinan penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan remaja. Namun, terdapat juga pengguna media sosial yang mempersoalkan tindakan menyebarkan rakaman berkenaan kerana wajah pelajar yang dipercayai masih di bawah umur itu dapat dilihat dengan jelas.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar sebelum ini memaklumkan bahawa pihaknya turut menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.

Mengulas lanjut, Alzafny menegaskan polis memandang serius isu penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang, terutama apabila melibatkan golongan pelajar.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]