Penularan video memaparkan seorang lelaki warga emas berkerusi roda dipukul menggunakan getah paip oleh beberapa individu membawa kepada penahanan tiga suspek bagi membantu siasatan kes kematiannya.
![]()
Kes Video Warga Emas Dipukul Guna Getah Paip, Tiga Individu Ditahan Polis
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, ketiga-tiga individu yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 28 hingga 34 tahun.
Menurutnya, polis menerima laporan kira-kira jam 10 pagi pada 5 November lalu selepas video yang memaparkan kejadian dipercayai melibatkan penderaan terhadap seorang lelaki tempatan tersebar di TikTok. Bagaimanapun, mangsa yang berusia lingkungan 60-an itu dilaporkan meninggal dunia pada petang 4 November 2026.
Bertindak atas laporan tersebut, pihak polis menjalankan siasatan sebelum mengesan dan menahan ketiga-tiga individu berkenaan untuk membantu siasatan lanjut.
![]()
Dalam operasi itu, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian, antaranya getah paip yang didakwa digunakan untuk memukul mangsa, sebuah kerusi roda, telefon bimbit serta pakaian yang dipakai. Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mengulas lanjut, Alzafny meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan spekulasi mengenai kejadian itu kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan kelancaran siasatan.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit, selain memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh berdasarkan peruntukan undang-undang.
Terdahulu, rakaman video yang tersebar di media sosial mengundang perhatian ramai apabila memaparkan seorang lelaki warga emas yang berada di atas kerusi roda dipukul beberapa individu menggunakan getah paip.
Kredit: Sinar Harian