Baru-baru ini, tular satu hantaran di paltform Threads apabila seorang peniaga mendakwa dirinya hampir ditikam menggunakan pisau susulan pertikaian berkaitan perniagaan tauhu rangup di Bandar Tasik Selatan, Cheras.
![]()
Tular Video Peniaga Hampir Ditikam Guna Pisau, Lelaki Ditahan Di Gerai Pisang Goreng
Menerusi perkongsian tersebut, individu berkenaan mendakwa perselisihan tercetus akibat isu tapak perniagaan serta saman yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Susulan kejadian terbabit, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan pada petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 3 petang di tepi jalan berhampiran sebuah residensi di Jalan Tasik Selatan 21. Menurutnya, suspek berjaya diberkas pada lewat petang hari sama di sebuah gerai pisang goreng miliknya hasil tindakan pasukan petugas dari Balai Polis Sungai Besi.
Dalam operasi tersebut, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
![]()
Mengulas punca insiden, Mohd Rosdi memaklumkan siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan. Semakan pihak polis juga mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Tambah beliau, siasatan masih diteruskan dengan mengambil keterangan mangsa dan saksi, selain mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi bagi membantu melengkapkan siasatan. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, dakwaan terperinci yang dikongsikan individu berkenaan di Threads, termasuk isu saman DBKL dan pertikaian tapak perniagaan tauhu rangup, masih belum disahkan oleh pihak polis.
Kredit: Harian Metro, Thread cicimariposaa