Tindakan sekumpulan pelancong Malaysia yang didakwa melakukan aksi pusingan U berulang kali sehingga mengganggu kelancaran lalu lintas di Hat Yai, Thailand, mengundang perhatian penduduk tempatan sebelum rakaman kejadian itu tular di media sosial.

Tiga Pelancong Malaysia Didenda RM1,447 Di Thailand, Didakwa Halang Lalu Lintas & Buat Pusingan U

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam Ahad itu melibatkan tiga buah kereta bernombor pendaftaran Malaysia berwarna biru, merah dan putih serta sebuah kereta hitam milik warga Thailand. Kesemua kenderaan berkenaan dipercayai bergerak dalam satu barisan di Jalan Phetkasem.

Menurut Timbalan Inspektor Trafik Balai Polis Hat Yai, Leftenan Polis Prut Pattanapran, pihaknya menerima aduan orang ramai sebelum mengarahkan tiga lelaki warga Malaysia berusia antara 26 hingga 30 tahun serta seorang lelaki Thailand yang terlibat hadir ke balai polis untuk membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati pemandu kereta hitam yang berada di hadapan dipercayai sedang merakam video untuk dijadikan kandungan media sosial. Dalam masa sama, kumpulan berkenaan didakwa melakukan beberapa pusingan U secara berulang kali, menggunakan ekzos yang mengeluarkan bunyi kuat serta menghalang pergerakan kenderaan lain.

Tindakan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk setempat sebelum video kejadian mula tersebar di media sosial. Pihak polis turut percaya kumpulan pelancong itu melakukan aksi berkenaan bagi menghasilkan kandungan media sosial, selain berkemungkinan tidak mengetahui peraturan lalu lintas yang ditetapkan di Thailand.

Susulan kejadian itu, ketiga-tiga lelaki warga Malaysia berkenaan mengaku bersalah atas kesalahan yang dilakukan dan masing-masing dikenakan denda sebanyak 4,000 Baht (kira-kira RM482). Secara keseluruhan, mereka perlu membayar denda berjumlah 12,000 Baht atau sekitar RM1,447 sebelum dibebaskan pada Ahad.

Dalam pada itu, Prut mengingatkan pelancong asing yang berkunjung ke Thailand supaya sentiasa memahami dan mematuhi undang-undang negara berkenaan, termasuk peraturan jalan raya, bagi mengelakkan tindakan undang-undang sepanjang berada di sana.

Kredit: BERNAMA

[fbcomments]