Punca kematian seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar pada Rabu disahkan akibat jerutan pada leher berdasarkan hasil bedah siasat.
![]()
Bedah Siasat Sahkan Pelajar SBP Kuala Kangsar Meninggal Dunia Akibat Jerutan Pada Leher
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pemeriksaan forensik yang dijalankan di Hospital Taiping selesai kira-kira jam 1 petang Khamis dan mendapati tiada kecederaan lain pada tubuh mangsa.
Menurutnya, penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa meninggal dunia sekitar jam 10.35 pagi di tandas sebuah bangunan sekolah sebelum keadaannya disedari pelajar lain kira-kira jam 2.45 petang. Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada Khamis, sambil memaklumkan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut setakat ini.
Dalam perkembangan sama, polis sudah mengambil keterangan 11 individu yang terdiri daripada enam pelajar dan lima guru yang dipercayai mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu. Keterangan ibu bapa mangsa turut dirakam bagi membantu siasatan.
![]()
Mohd Alwi berkata, hasil siasatan mendapati mangsa ditempatkan di sebuah bilik sakit di sekolah berkenaan sejak Isnin lalu kerana mengalami masalah kesihatan. Jelasnya, bilik tersebut disediakan untuk pelajar yang kurang sihat tetapi tidak memerlukan rawatan di hospital, selain dilengkapi CCTV bagi membolehkan pihak sekolah memantau keadaan mereka.
Hasil penelitian terhadap tiga siri rakaman CCTV dari bilik berkenaan juga tidak menemukan sebarang petunjuk yang menunjukkan berlakunya unsur jenayah atau buli.
Terdahulu, bapa mangsa memaklumkan bahawa anaknya tidak pernah menunjukkan sebarang masalah berkaitan kehidupan di asrama, malah rutin harian persekolahannya berjalan seperti biasa sejak mula memasuki sekolah itu ketika Tingkatan Satu.
Sementara itu, ibu mangsa, Siti Zamira Zolkopli, 45, menyifatkan anaknya sebagai seorang yang baik, mendengar kata dan tidak pernah melawan. Menurutnya, Allahyarham juga disenangi rakan-rakan serta guru sepanjang berada di sekolah.
![]()
Jenazah pelajar berkenaan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Juasseh, Negeri Sembilan pada jam 10.21 malam Khamis. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, turut hadir pada urusan pengebumian Allahyarham.
Kredit: Sinar Harian