Pelakon Bollywood, Kareena Kapoor berdepan tindakan undang-undang selepas menerima notis daripada seorang aktivis sosial, Abbas Hafeez bersama beberapa individu dalam masyarakat Islam berhubung pemakaiannya ketika sambutan Deepavali baru-baru ini.
![]()
Aktivis Islam Pertikai Kareena Kapoor Pakai Loket Ayat Kursi Ketika Sambutan Deepavali
Bantahan itu timbul selepas Kareena dilihat mengenakan seutas loket warisan keluarga diraja Bhopal yang mempunyai ukiran ayat suci al-Quran, iaitu Ayat al-Kursi. Menurut laporan NDTV, aktres berkenaan memakai loket berwarna hijau zamrud itu bersama kaftan rona kuning air rekaan pereka fesyen, Punit Balana, selain menggayakan serban sedondon yang dihiasi aksesori kalgi.
Loket berkenaan difahamkan mempunyai nilai sentimental kerana pernah dipakai suaminya, Saif Ali Khan ketika hari perkahwinan mereka sebelum diwariskan kepada Kareena.
![]()
Menerusi perkongsian di Instagram, pereka fesyen Rhea Kapoor yang bertanggungjawab menggayakan Kareena turut mendedahkan bahawa loket zamrud seberat 30 karat itu merupakan milik Begum Bhopal dan dihiasi ukiran Ayat al-Kursi. Aksesori tersebut juga dikatakan sebahagian daripada koleksi warisan keluarga diraja Bhopal yang mempunyai kaitan dengan keturunan Saif.
Kareena turut memuat naik beberapa gambar penampilannya di media sosial dengan menyifatkan Deepavali sebagai peluang menghayati tradisi.
![]()
Bagaimanapun, kapsyen dan penampilan tersebut mencetuskan bantahan sehingga membawa kepada penghantaran notis undang-undang terhadapnya.
Kredit: Sinar Harian