Selepas lebih seminggu menjadi perhatian ramai, pengendali halaman Adam’s Autism Family, Iman Wan akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka kepada Farah Fatini susulan kontroversi video yang dirakam di restoran Macha & Co, The Curve, Mutiara Damansara pada 14 November lalu.
![]()
Iman Wan Mohon Maaf Selepas Video Tular, Tegaskan Tidak Mereka-Reka Cerita Kejadian
Menerusi kenyataan terbaharunya, Iman mengakui kesilapan memuat naik video berkenaan sehingga menyebabkan Farah menjadi sasaran penghinaan fizikal, serangan peribadi dan gangguan dalam talian. Beliau turut mengakui sepatutnya tidak memasukkan rakaman wanita itu walaupun wajahnya sudah dikaburkan kerana pengalaman keluarganya masih boleh dikongsikan tanpa melibatkan individu terbabit.
Iman berkata, beliau menyesali keputusan tersebut dan menegaskan tidak pernah berniat mengaibkan Farah secara terbuka. Malah, sebaik menyedari wanita itu menjadi sasaran kecaman, beliau segera menutup ruangan komen serta menghasilkan video susulan bagi meminta orang ramai menghentikan serangan terhadapnya.
Selain itu, Iman memaklumkan sudah tiga kali cuba mengatur pertemuan secara tertutup dengan Farah menerusi pemilik restoran sepanjang minggu lalu bagi membincangkan perkara itu dan mencari penyelesaian secara baik. Bagaimanapun, beliau mendakwa masih belum menerima sebarang maklum balas, namun tetap bersedia untuk bertemu dan mendengar penjelasan Farah.
![]()
Dalam kenyataan sama, Iman turut memohon maaf kepada isteri dan dua anak perempuannya kerana terpaksa berdepan kritikan serta tekanan susulan kontroversi tersebut. Beliau mengakui gagal melindungi keluarganya daripada tempias kecaman dan menganggap perkara itu sebagai satu kegagalan dalam tanggungjawabnya sebagai suami serta bapa.
Untuk rekod, kontroversi tercetus selepas Iman berkongsi video pengalaman keluarganya ketika mengunjungi Macha & Co dan mendakwa mereka tidak dibenarkan makan kerana restoran itu ditempah untuk majlis tertutup. Bagaimanapun, Farah yang menganjurkan majlis Deepavali syarikat melibatkan 53 tetamu mendakwa sudah membenarkan keluarga Iman makan dengan syarat mereka selesai sebelum jam 7 malam, selain menafikan dakwaan menghalau keluarga berkenaan.
![]()
Susulan kejadian itu, Farah sebelum ini menyatakan hasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa menyebarkan fitnah sehingga menjejaskan reputasinya. Bagaimanapun, permohonan maaf terbaharu Iman hanya tertumpu kepada keputusannya menyiarkan video dan kesan yang timbul, tanpa menyatakan bahawa beliau menarik balik versi kejadian yang pernah dikongsikan sebelum ini.
Kredit: adamautismfamily