Seorang lelaki maut selepas diserang seekor harimau di Yorkshire Wildlife Park, berhampiran Doncaster, utara England, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang waktu tempatan baru-baru ini. Mangsa dipercayai memasuki kandang haiwan berkenaan sebelum diserang sehingga mengalami kecederaan parah.
![]()
Lelaki Maut Diserang Harimau Selepas Dipercayai Ceroboh Kandang Di England
Polis South Yorkshire memaklumkan bahawa pasukan kecemasan bergegas ke lokasi sejurus menerima laporan kejadian. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian meskipun petugas perubatan telah berusaha menyelamatkannya. Perkhidmatan Ambulans Yorkshire turut menghantar dua ambulans darat dan sebuah ambulans udara bagi membantu operasi kecemasan.
Susulan kejadian itu, semua pengunjung diarahkan meninggalkan taman berkenaan sebagai langkah keselamatan, manakala harimau terbabit kekal di dalam kandangnya dan tidak menimbulkan ancaman kepada orang awam. Pihak pengurusan Yorkshire Wildlife Park turut mengesahkan penutupan premis berkenaan dan memaklumkan taman itu tidak akan dibuka pada Ahad.
![]()
Insiden tersebut berlaku di kawasan pameran Land of the Tigers, yang menempatkan harimau Amur dalam habitat menyerupai persekitaran semula jadi spesies berkenaan. Kawasan itu mempunyai laluan pejalan kaki bertingkat sepanjang 300 meter untuk membolehkan pengunjung melihat harimau dari jarak dekat, selain dilengkapi kawasan hutan, padang rumput dan kolam air terjun.
Harimau Amur merupakan antara subspesies harimau yang terancam, dengan hanya kira-kira 500 ekor dianggarkan masih hidup di habitat liar.
Kredit: Sinar Harian, Thread