Enam sekeluarga mengalami detik mencemaskan apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam parit di kilometer 15, Jalan Selama-Bagan Serai, pada petang Sabtu lalu.
Insiden tersebut berlaku ketika pemandu yang merupakan seorang wanita, cuba mengelak sekumpulan monyet yang melintas jalan, mengakibatkan kereta Proton Iriz yang dipandunya hilang kawalan dan terjunam ke dalam parit.
Video di bawah:
https://x.com/BuletinTV3/status/1827972164500283836
Kereta Terbabas Akibat Elak Monyet
Ketua Polis Daerah Kerian iaitu Superintendan Juna Yusoff memaklumkan bahawa kejadian tersebut berlaku sekitar jam 4.35 petang ketika keluarga tersebut sedang dalam perjalanan menuju ke Bagan Serai. Dalam kenderaan tersebut, terdapat lima penumpang lain termasuk empat kanak-kanak yang berusia antara satu hingga 13 tahun.
Beliau turut menjelaskan bahawa hasil siasatan awal mendapati pemandu berusaha mengelak daripada melanggar monyet yang tiba-tiba melintas, namun kehilangan kawalan menyebabkan kenderaan tersebut terbabas ke dalam parit di tepi jalan. Mujur tiada kecederaan serius atau kemalangan jiwa yang dilaporkan.
Bagaimanapun, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk menjalani pemeriksaan lanjut bagi memastikan keselamatan dan kesihatan mereka. Kes ini sedang disiasat di bawah Kaedah 10, Peraturan 6(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 166/59.
Sebelum ini, sebuah video berdurasi 35 saat telah menjadi tular di media sosial, memaparkan keberanian dua orang lelaki yang berenang ke arah kereta tersebut untuk menyelamatkan semua mangsa sebelum kenderaan itu tenggelam sepenuhnya.
Kredit: Buletin TV3