Usahawan terkenal, Dato’ Seri Aliff Syukri, mengakui bahawa memiliki kediaman mewah bukanlah semudah yang disangka, terutamanya apabila melibatkan kos penyelenggaraan yang tinggi.
Dalam satu perkongsian di Instagram, beliau meluahkan rasa terbeban dengan perbelanjaan besar yang perlu diperuntukkan setiap tahun untuk membaiki dan menjaga rumahnya.
Dato Aliff Syukri Akui Mulai Terbeban Penjagaan Rumah Besar
Menurut Aliff Syukri, ketika membina rumah impian, beliau tidak pernah terfikir tentang kos penyelenggaraan jangka panjang. Ketika itu, rasa teruja mengatasi segala pertimbangan lain. Namun, selepas beberapa tahun, beliau mula merasai sendiri cabaran sebenar apabila kediamannya mengalami pelbagai kerosakan yang memerlukan pembaikan segera.
“Saya tidak pernah terfikir tentang kos penjagaan rumah ini. Waktu bina dulu, saya hanya fikir tentang betapa seronoknya memiliki rumah besar. Tetapi sekarang, setiap tahun perlu peruntukkan ratusan ribu ringgit untuk membaiki kerosakan,” katanya.
Aliff Syukri turut berkongsi nasihat kepada mereka yang bercadang untuk memiliki rumah besar agar bersedia dengan perbelanjaan penyelenggaraan yang boleh menjadi beban jika tidak dirancang dengan baik. Menurutnya, semakin besar rumah, semakin tinggi kos yang perlu ditanggung, lebih-lebih lagi apabila struktur mula mengalami kerosakan akibat faktor usia.
“Kepada anda, saya nak bagi nasihat sebelum anda ambil keputusan untuk berpindah di rumah besar, tolonglah bersedia untuk kos penjagaannya.
“Semakin besar rumah, semakin tinggi kos terutama bila rumah itu dah lama dan kerosakkan banyak,” pesannya.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai, di mana rata-rata netizen bersetuju dengan pandangannya. Ada yang berkongsi pengalaman sendiri dan mengakui bahawa memiliki rumah besar bukan sekadar soal keindahan atau prestij, tetapi turut memerlukan komitmen kewangan yang besar bagi memastikan kediaman sentiasa dalam keadaan baik.
Kredit: Instagram aliffsyukriterlajaklaris