Seorang pengasas kosmetik mendakwa anak perempuannya yang berusia 19 tahun menjadi mangsa keganasan fizikal oleh bekas tunangnya yang juga seorang pempengaruh media sosial dalam satu kejadian pada 21 Februari lalu.
![]()
Majlis Kahwin 10 Syawal Batal, Remaja 19 Tahun Dakwa Didera Bekas Tunang
Menurut wanita itu, Fara Sharina Zamari, 37, anak sulungnya daripada empat beradik keluar berbuka puasa di rumah lelaki berusia 20 tahun berkenaan di Kedai Lalat sekitar jam 6.30 petang sebelum pulang ke rumah kira-kira jam 10 malam. Ketika tiba di rumah, keadaan anaknya dilihat agak pelik dengan kesan kemerahan pada leher. Bagaimanapun, remaja itu hanya mengadu sakit kepada bapanya tanpa menjelaskan punca sebenar kejadian.
Fara Sharina berkata, anaknya mengambil masa dua hari sebelum akhirnya menceritakan perkara sebenar yang berlaku. Berdasarkan pengakuan mangsa, dia didakwa dipukul, dicekik, ditendang serta diseret oleh lelaki berkenaan sehingga menyebabkan lebam dan bengkak di seluruh badan. Susulan itu, keluarga membawa remaja berkenaan mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Dalam masa sama, laporan polis turut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu pada 24 Februari lalu. Fara Sharina berkata, dia amat terkejut dengan kejadian tersebut kerana tidak menyangka lelaki itu sanggup bertindak sedemikian terhadap anaknya.
![]()
Susulan insiden berkenaan, keluarga mangsa mengambil keputusan membatalkan serta-merta pertunangan pasangan itu walaupun mereka sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 10 Syawal nanti.
Menurut Fara Sharina lagi, selepas laporan polis dibuat, lelaki terbabit dilaporkan melarikan diri selama 12 hari sebelum akhirnya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu kira-kira enam hari lalu. Bagaimanapun, suspek kemudian dibebaskan tiga hari lalu selepas diberikan ikat jamin polis.
Tambahnya, dia sekali lagi membuat laporan polis pada hari ini kerana tidak mahu bekas tunang anaknya itu terus mengganggu mangsa yang kini dikatakan mengalami trauma teruk akibat kejadian tersebut.
Kredit: Berita Harian