Empat mangsa banjir mengalami detik cemas apabila bot yang mereka naiki terbalik akibat arus deras dalam kejadian banjir di Taman Bukit Orang, pada Rabu semalam.
Insiden itu sempat dirakam dan tular di media sosial, memperlihatkan mangsa berpaut antara satu sama lain ketika dihanyutkan arus deras.
Video di bawah:
https://vt.tiktok.com/ZS6v2XVb7/
Bot Terbalik Akibat Arus Deras, Empat Mangsa Banjir Nyaris Lemas
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju, Irwin Abidin, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu sekitar jam 1.58 tengah hari.
“Kesemua mangsa merupakan pekerja asing yang bekerja di Bintulu. Ketika kejadian, mereka menaiki bot meredah kawasan banjir sebelum bot tersebut terbalik akibat arus deras,” katanya.
Selepas menerima laporan dan melihat rakaman tular, sepasukan anggota bomba yang sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi berhampiran segera bergerak ke tempat kejadian.
“Empat anggota penyelamat bertindak pantas menarik mangsa ke kawasan selamat sebelum keadaan bertambah buruk. Kesemua mereka berjaya diselamatkan dan dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) untuk pemeriksaan serta bantuan lanjut,” jelas Irwin.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus meningkat kepada 5,561 orang, dengan 47 PPS telah dibuka bagi menempatkan mereka yang terjejas.
Penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan agar tidak mengambil risiko meredah banjir tanpa kelengkapan keselamatan serta sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Kredit: Sinar Harian