Seorang lelaki yang juga merupakan bomoh dilaporkan telah dijatuhi hukuman penjara selama 35 tahun beserta 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen semalam selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan amang seksual dan rogol remaja perempuan dua tahun yang lalu.
Tertuduh Mengaku Bersalah Atas Pertuduhan Cabul Dan Rogol
Memetik laporan Harian Metro, tertuduh yang bernama Zemi Ibrahim, 51, membuat pengakuan tersebut selepas kes dibacakan semula di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan amang seksual dan merogol remaja perempuan dalam tandas rumah mangsa di Pagoh, sejak 2022 ketika mangsa ingin mendapatkan rawatan membuang sihir sehingga mangsa hamil.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah mencabul seorang gadis yang ketika itu berusia 14 tahun dalam sebuah tandas di Pagoh pada November 2022. Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34 akta sama iaitu penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, dia didakwa merogol mangsa sejak April hingga Julai tahun lalu, dengan kejadian berlaku di tempat sama. Susulan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, bagi setiap pertuduhan.
Menurut fakta kes, keluarga mangsa mengenali tertuduh melalui bapa saudaranya yang dikatakan mampu merawat sihir.
Mangsa Dirogol Berkali-Kali Sehingga Hamil
Difahamkan tertuduh bertandang ke rumah mangsa untuk merawatnya serta arwah bapa mangsa yang turut terkena sihir. Ketika kejadian, mangsa diarahkan untuk memasuki ke bilik air yang terletak di luar untuk tujuan mandi air jampi yang mengandungi bunga, limau purut dan sebagainya.
Bagaimanapun, tertuduh mengambil kesempatan terhadap mangsa dengan melakukan amang seksual sebelum merogolnya berkali-kali sehingga Julai tahun lalu.
Mangsa mengetahui dia dirogol selepas mendengar sesi ceramah jenayah seksual di sekolah pada September tahun lalu, sebelum membuat laporan kejadian pada 27 Oktober. Mangsa kemudiannya disahkan hamil selepas tidak datang bulan sejak Ogos 2023, dan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas kandungan mangsa berpadanan sampel diambil daripada tertuduh.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama manakala pertuduhan kedua hingga keempat, masing-masing 10 tahun serta tiga sebatan.
Kredit: Harian Metro