Pempengaruh media sosial Marissa Dania Hakim dan suaminya, Ahmad Aslam, dilaporkan pernah melalui dua lafaz cerai yang dibuat di luar mahkamah, masing-masing pada September 2024 dan Jun 2025, sebelum kembali rujuk dalam bulan yang sama.

Aslam dan Marissa Kembali Rujuk Selepas Dua Kali Lafaz Cerai Luar Mahkamah

Perkara itu disahkan peguam syarie yang mewakili Aslam, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri, ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Isnin bagi prosiding tuntutan pengesahan lafaz cerai dan permohonan pengesahan rujuk pasangan berkenaan. Beliau menjelaskan, apabila sesuatu permohonan dibuat bagi tujuan pengesahan, ia bermaksud lafaz cerai dan rujuk telah pun berlaku, namun keputusan sama ada lafaz tersebut sah atau sebaliknya akan ditentukan oleh mahkamah.

Menurut beliau, permohonan tersebut telah difailkan oleh Ahmad Aslam Saifun Kasyfun Nazir Rasyid, 27, pada 10 Mac lalu. Pasangan itu turut hadir di mahkamah sekitar jam 11.03 pagi bagi mengikuti prosedur berkaitan pengesahan cerai dan rujuk tersebut.

Mengulas mengenai status hubungan rumah tangga pasangan berkenaan, Ammar memaklumkan pihaknya telah memberikan nasihat sewajarnya, termasuk menekankan supaya segala urusan perkahwinan dilaksanakan mengikut prosedur yang betul.

Beliau turut menjelaskan bahawa proses permohonan kali ini menjadi sedikit rumit kerana pasangan tersebut masih belum memperoleh sijil nikah asal selepas perkahwinan mereka di Songkhla, Thailand pada tahun 2023. Walaupun mahkamah sebelum ini telah mengesahkan perkahwinan mereka, dokumen sijil nikah asal masih belum dikeluarkan kerana terdapat beberapa lagi prosedur serta perbicaraan yang perlu diselesaikan.

Katanya, segala urusan ketika ini diteruskan menggunakan salinan asal yang telah disahkan dan dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam, sementara pihaknya berusaha menyelesaikan proses berkenaan dalam kadar segera.

Untuk rekod, Marissa bernikah dengan Aslam di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023 sebagai isteri kedua.

Kredit: mStar

[fbcomments]