Tahun Baru Cina bakal disambut pada 25 Januari ini. Menjadi kebiasaan untuk premis menghidupkan suasana perayaan dengan hiasan warna merah, tanglung dan pelbagai lagi dekorasi budaya Cina.
Begitu juga dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong 1 yang menghias bangunannya untuk menyambut tahun baru.
Perhiasan dekorasi menyakitkan mata
Seorang pengguna Twitter berkongsi surat aduan dari Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) yang menerima laporan ibu bapa mengenai perhiasan Tahun Baru Cina di sekolah terbabit yang digambarkan ‘tidak selesa’ dan ‘tidak senang hati’.
Dakwa Naib Presiden PUTRA, Mohd Khairul Azam, ibu bapa membayangkan sekolah terbabit dihias seperti gedung perniagaan China dan terdapat unsur-unsur selain agama Islam. Keadaan itu tambahnya lagi mendatangkan rasa tidak aman selain bertentangan dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Sekolah milik semua
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut memberi respon berkenaan isu tersebut.
Syed Saddiq menerusi Twitternya membalas tweet berkenaan dengan menyatakan sekolah kebangsaan adalah milik semua manakala perayaan Tahun Baru Cina dikongsi raikan seluruh rakyat kerana Malaysia milik semua.
Dia juga sempat menyindir, apabila tiba perayaan ini, pihak terbabit ‘pandai pula tuntut cuti’.
Penjelasan dari Pengetua Sekolah
Menurut pengetua sekolah, perhiasan yang dibuat di sekolah tersebut tidak dirujuk terlebih dahulu kepadanya.
Pihak terbabit juga memaklumkan yang mereka akan menurunkan perhiasan tersebut.