Pelawak dan pengacara Jiggy, 33 mengesahkan sudah menamatkan zaman duda dan berkahwin dengan atlet terjun negara iaitu Nur Dhabitah Sabri,23 pada Jumaat lalu.
Jiggy atau nama sebenarnya Mohamad Aizat Ahmad Nazri, 33 berkata, majlis tersebut dibuat secara tertutup bagi memenuhi permintaan keluarga kedua-dua belah pihak.
Tiada niat untuk berahsia

“Saya dan isteri, Dhabitah tidak berniat untuk merahsiakan pernikahan kami. Alhamdulillah, dengan sekali lafaz, kami sah bergelar suami isteri pada Jumaat lalu.
“Kami cuma menjaga janji kedua-dua belah pihak keluarga untuk tidak umumkan apa-apa selagi belum sah. Saya mohon maaf kepada semua rakan media sebab tak respon mengenai hubungan kami sebelum ini,” katanya kepada Astro Gempak.
Mereka juga merancang mengadakan majlis resepsi namun belum menteapkan sebarang tarikh memandangkan Dhabitah sedang sibuk menjalani latihan bagi mempersiapkan diri untuk Sukan Olimpik Paris tahun depan.
Isterinya itu juga bakal berangkat ke China selama sebulan bagi menjalani sesi latihan di sana.
Perkenalan dari sesi fotografi
Jiggy berkenalan dengan atlet tersebut sejak setahun lalu selepas sama-sama terlibat dalam sebuah sesi fotografi sebelum terlibat dalam sesi penggambaran program bersama.
Jiggy mengakui mula rapat dengan Dhabitah namun tiada perancangan berkahwin ketika itu. Pelakon itu bersyukur jodoh mereka dipanjangkan hingga ke hari ini.
Sekadar info, Jiggy pernah mendirikan rumah tangga dengan pengacara dan pelakon Elly Ariffin pada 9 September 2016 namun mereka mengambil keputusan untuk bercerai pada Januari 2020.