Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemui bersendirian di kebun jagung di Jalan Tok Serah, Kampung Pulang Sebatang, Pontian, Johor baru-baru ini. Penemuan tersebut berlaku pada pagi Ahad sekitar jam 8.30 pagi dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Kanak-Kanak Tersesat Dalam Kebun Jagung, Polis Dapati Ibu Bapa Mangsa Mempunyai Rekod Lampau

Kanak-kanak itu, yang hanya dikenali sebagai Ahmad atau Armizi, dijumpai oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan tersebut. Penduduk kampung memberitahu mereka tidak mengenali kanak-kanak itu dan percaya dia mungkin berasal dari luar kawasan.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib, memaklumkan bahawa pihak polis segera menjalankan usaha untuk mengesan keluarga kanak-kanak itu. Susulan hebahan yang dibuat, seorang wanita yang merupakan ibu saudara kanak-kanak tersebut tampil menuntutnya di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Hasil siasatan awal mendapati keluarga kanak-kanak itu tinggal di Parit Jawa, Muar.

“Selepas hebahan media dibuat, seorang wanita iaitu ibu saudara kanak-kanak itu tampil menuntutnya. Polis akan melakukan siasatan termasuk kenapa mangsa ditinggalkan dalam kebun tersebut,” ujar Mohammad Shofee.

Dalam pada itu, siasatan juga mendapati ibu bapa kanak-kanak tersebut mempunyai rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 yang melibatkan isu pengabaian kanak-kanak.

Kredit: Kosmo!

 

[fbcomments]