Pelakon Eyra Hazali berkongsi detik mencemaskan apabila anak keduanya, Muhammad Endra Haqimie, disahkan mengalami masalah pembesaran tonsil pada tahap empat sehingga perlu menjalani pembedahan pada Julai lalu. Pengalaman itu dikongsikan Eyra menerusi media sosial selepas dia menyedari beberapa perubahan ketara pada keadaan kesihatan anaknya.
![]()
Tonsil Bengkak Hampir Tutup Saluran Pernafasan, Anak Eyra Hazali Dibedah
Menurut Eyra atau Hazira Qasdina Hazali, 26, tanda awal yang mencetuskan rasa curiga ialah dengkuran Endra yang sangat kuat dan tidak seperti kebiasaan kanak-kanak lain. Pada mulanya, dia menyangka keadaan itu perkara normal, namun mula bimbang apabila pernafasan anaknya kelihatan tidak teratur, termasuk beberapa kali berhenti bernafas ketika tidur. Selain itu, Endra juga kerap mengalami masalah kencing malam tanpa sebab yang jelas.
Susulan itu, Eyra membawa anaknya mendapatkan pemeriksaan pakar telinga, hidung dan tekak (ENT). Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua tonsil Endra membengkak pada tahap empat sehingga hampir menutup laluan pernafasan. Keadaan itu turut memberi kesan kepada bekalan oksigen ke otak, yang menurut doktor menjadi punca kepada masalah kerap membuang air kecil pada waktu malam sebagai mekanisme tubuh untuk membuatkan badan lebih peka dan terjaga.
![]()
Tidak mahu mengambil risiko, Eyra segera membuat keputusan untuk membenarkan Endra menjalani pembedahan walaupun ketika itu anaknya baru berusia tiga tahun. Dia turut berkongsi foto dua ketulan tonsil yang berjaya dikeluarkan hasil pembedahan berkenaan sebagai peringatan kepada ibu bapa agar lebih peka terhadap tanda-tanda kesihatan anak.
Mengimbas tempoh pemulihan selepas pembedahan, Eyra berkata Endra memerlukan perhatian rapi seperti bayi yang baru lahir. Sepanjang minggu pertama, anaknya kerap terjaga dan menangis pada waktu malam, perlu diberi minum dengan kerap serta dijaga pemakanannya, termasuk keperluan mengambil aiskrim setiap kali selepas makan bagi mengurangkan rasa sakit.
![]()
Untuk rekod, Eyra Hazali mendirikan rumah tangga dengan penjaga gol skuad Harimau Malaya, Haziq Nadzli, pada 1 November 2019. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Hayder Qhalish, 5, Muhammad Endra Haqimie, 3, dan Muhammad Hud Ezqandar yang kini berusia setahun.
Kredit: Threads eyra.hazali