Kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan dilaporkan semakin meningkat setiap tahun, dan apa yang lebih merisaukan adalah kebanyakannya melibatkan remaja bawah umur sebagai mangsa dan pelaku.

Terbaharu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dilaporkan telah menghamilkan sepupunya yang berumur 15 tahun. Kejadian yang berlaku minggu lalu itu kini dalam siasatan pihak berkuasa, manakala mangsa telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan lanjut.

Kes Rogol & Sumbang Mahram di Kelantan Meningkat, Remaja Bawah Umur Antara Paling Ramai Terlibat

Ketua Polis Kelantan iaitu Datuk Mohd Yusoff Mamat memaklumkan bahawa sebanyak 252 kes rogol direkodkan sepanjang tahun lalu, meningkat berbanding 206 kes pada tahun 2023. Bagi suku pertama tahun ini sahaja, peningkatan sebanyak 15.6 peratus telah dicatatkan berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Hasil siasatan mendapati majoriti kes yang direkodkan berlaku atas persetujuan bersama antara mangsa dan pelaku, dengan hampir keseluruhan kes melibatkan golongan remaja bawah umur.

Lebih membimbangkan, wujud kecenderungan dalam kalangan remaja perempuan yang dikatakan mengambil langkah terlebih dahulu dalam mencari pasangan, sekali gus meningkatkan risiko berlaku pergaulan bebas dan hubungan seksual luar nikah.

Menurut pihak polis, pelbagai faktor dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan kes sebegini, antaranya konflik dalam institusi keluarga, hubungan cinta tidak sihat, pendedahan kepada bahan pornografi, pengaruh rakan sebaya, kelemahan didikan agama serta penyalahgunaan dadah.

Pihak berkuasa menegaskan bahawa pendedahan statistik ini bukan bertujuan untuk menimbulkan stigma terhadap negeri ini, sebaliknya bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung krisis sosial yang sedang berlaku secara senyap.

Justeru, ibu bapa dan institusi pendidikan diseru agar lebih peka terhadap tingkah laku anak-anak serta segera melaporkan sebarang kejadian mencurigakan, terutama kes membabitkan sumbang mahram atau remaja bawah umur, agar tindakan sewajarnya dapat diambil demi melindungi mangsa.

Kredit: Berita Harian

 

 

 

[fbcomments]