Pihak polis kini sedang menjalankan operasi memburu seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden serangan dan ugutan terhadap seorang pengawal keselamatan wanita di Bandar Puteri Puchong. Kejadian yang berlaku baru-baru ini telah menarik perhatian ramai selepas rakaman video mengenainya tular di media sosial.

Video di bawah:
https://x.com/mynewshub/status/1894419508309512646

Lelaki Berang Cintanya Ditolak, Serang Pengawal Keselamatan Dengan Pisau

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A. A. Anbalagan, memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima laporan daripada mangsa, seorang wanita tempatan berusia 32 tahun, sekitar jam 1.30 petang pada Rabu. Berdasarkan keterangan mangsa, kejadian berlaku pada awal pagi Selasa ketika dia sedang bertugas di pondok keselamatan sebuah pangsapuri.

Menurut siasatan awal, suspek yang dikenali mangsa telah datang ke pondok pengawal dan menyatakan hasrat cintanya. Bagaimanapun, selepas mangsa menolak, suspek dikatakan bertindak agresif dengan cuba mencederakannya menggunakan pisau lipat. Mangsa bagaimanapun sempat mempertahankan diri dan terselamat daripada serangan tersebut.

Tidak berakhir di situ, suspek dipercayai kembali ke lokasi sekitar jam 3.30 pagi dan bertindak lebih ganas dengan menyerang mangsa secara fizikal, termasuk menumbuk kepala serta mencekiknya. Tindakan tersebut berjaya dihentikan selepas rakan sekerja mangsa masuk campur dan meleraikan pergaduhan. Suspek juga didakwa telah mengugut akan mencederakan mangsa lebih teruk sekiranya enggan menerima lamarannya.

Sehubungan itu, pihak polis kini sedang giat mengesan suspek bagi membantu siasatan. Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencederakan menggunakan senjata dan melakukan ugutan jenayah. Selain itu, ia turut disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.

Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di talian 03-80742222.

Kredit: X mynewshub, Astro Awani

 

 

[fbcomments]