Seorang wanita berdepan pengalaman menakutkan apabila didakwa diganggu oleh seorang lelaki yang melakukan perbuatan tidak senonoh di dalam sebuah masjid di Bukit Siput, Segamat pada Rabu.
Kejadian itu berlaku ketika wanita tempatan berusia lingkungan 40-an berkenaan sedang menunaikan solat sunat Dhuha kira-kira jam 11.15 pagi.
![]()
Lelaki Separuh Bogel Didakwa Buat Aksi Lucah Dalam Masjid Ketika Wanita Solat Dhuha
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, mangsa membuat laporan polis sekitar jam 6.29 petang pada hari yang sama selepas berasa bimbang dengan keselamatan dirinya. Menurut beliau, ketika mangsa sedang bersolat, seorang lelaki yang tidak dikenali tiba-tiba muncul dalam keadaan separuh bogel sebelum melakukan perbuatan onani sambil memandang ke arah mangsa.
Menurutnya, mangsa yang ketakutan bertindak melarikan diri dari masjid tersebut bagi menyelamatkan diri. Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
![]()
Rakaman tersebut menunjukkan suspek menanggalkan seluarnya, kemudian memakai sehelai tuala sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh sambil mengintai mangsa yang sedang mendirikan solat.
Mohd Jumazanzahir berkata, berdasarkan maklumat awal, suspek dipercayai seorang lelaki warga asing berusia sekitar 30-an dengan susuk tubuh kurus dan berkulit cerah. Pihak polis kini sedang menjalankan usaha bagi mengesan dan menahan lelaki berkenaan untuk membantu siasatan lanjut.
![]()
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9324222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Kredit: Threads gn4mii