Seorang lelaki berusia 25 tahun dilaporkan maut selepas dipercayai ditikam dalam satu kejadian pergaduhan yang berlaku di Kampung Sungai Udang, Melaka pada Rabu malam. Kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak polis kira-kira jam 8.30 malam dan melibatkan seorang suspek lelaki berusia 44 tahun.

Lelaki Maut Ditikam Dalam Pergaduhan Gara-Gara Telefon Bimbit

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati suspek datang ke rumah mangsa bagi mengambil semula telefon bimbit miliknya yang sebelum ini diserahkan kepada mangsa kira-kira seminggu lalu. Pertemuan itu bagaimanapun bertukar tegang apabila kedua-duanya dipercayai terlibat dalam pertengkaran sebelum berlaku pergaduhan.

Menurut beliau, abang mangsa yang berada berhampiran ketika kejadian menyaksikan kedua-dua lelaki tersebut bergelut sebelum mangsa ditikam oleh suspek. Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami sekurang-kurangnya tiga kesan tikaman di bahagian dada kiri yang dipercayai menggunakan parang.

Terdahulu, kejadian itu turut tular di media sosial menerusi sebuah video yang memaparkan keadaan mangsa terbaring selepas dipercayai ditikam, selain rakaman suspek yang berjaya ditahan orang awam ketika berada dalam sebuah kereta jenis Hyundai Atos.

Christopher berkata, selepas kejadian suspek dipercayai melarikan diri sebelum bertindak bersembunyi di dalam sebuah kereta milik orang awam yang diparkir di kawasan rumah kedai kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian. Suspek bagaimanapun berjaya diberkas tidak lama kemudian.

Semakan awal pihak polis turut mendapati kedua-dua individu terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kredit: Sinar Harian, Melaka Hari Ini

[fbcomments]