Baru-baru ini tular sebuah kejadian yang memaparkan seorang wanita muda bertindak agresif di sebuah klinik kesihatan di Gombak, sehingga menimbulkan kekecohan dalam kalangan pesakit dan kakitangan yang berada di lokasi.
![]()
Wanita 20-an Bertindak Agresif di Klinik Gombak, Dihantar ke Hospital Bahagia
Insiden yang melibatkan wanita tempatan berusia lingkungan 20-an itu menjadi perhatian ramai selepas video rakaman kejadian tersebar di media sosial. Dalam rakaman tersebut, wanita berkenaan dilihat menjerit, mengeluarkan kata-kata kesat, berdiri di atas kerusi serta meludah ke arah petugas dan pesakit lain.
Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, kejadian itu berlaku ketika wanita berkenaan hadir bersama anaknya untuk mendapatkan rawatan sebelum dia tiba-tiba hilang kawalan.
Beliau berkata, tindakan agresif suspek menyebabkan kakitangan klinik tampil membuat laporan polis di Balai Polis Gombak pada 19 November sekitar pukul 12.25 tengah hari. Polis kemudiannya menahan wanita terbabit pada hari yang sama untuk tindakan lanjut.
![]()
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 susulan perbuatannya yang mengganggu ketenteraman awam.
Wanita berkenaan turut dibawa ke Hospital Bahagia bagi menjalani penilaian keadaan diri sebelum proses pendakwaan diteruskan. Dia kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang dan sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Disember depan.
Kredit: Kosmo!