Jenama sukan Jepun, Mizuno Sportstyle kembali mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran Malaysia menerusi pelancaran koleksi sneaker 2026 yang menampilkan gabungan teknologi prestasi, rekaan moden serta elemen budaya streetwear.
Acara eksklusif yang berlangsung di Kikyo Lounge, The Troika Kuala Lumpur itu menjadi platform untuk memperkenalkan hala tuju baharu Mizuno Sportstyle kepada rakan niaga, wakil media, pencipta kandungan serta komuniti sneaker tempatan.
![]()
Mizuno Sportstyle Kembali Ke Malaysia, Bawa Legasi Lebih 100 Tahun Ke Dunia Sneaker Moden
Menerusi tema “From Sporting Heritage to Street Style”, koleksi berkenaan mengetengahkan pilihan kasut daripada koleksi Spring/Summer dan Autumn/Winter 2026 yang diinspirasikan daripada sejarah sukan Mizuno serta sentuhan reka bentuk kontemporari untuk pengguna gaya hidup masa kini.
Ditubuhkan di Osaka, Jepun pada 1906, Mizuno mempunyai lebih satu abad pengalaman dalam menghasilkan produk sukan yang mengutamakan prestasi, ketukangan serta inovasi berterusan. Antara pencapaian penting jenama itu termasuk pengenalan teknologi Mizuno Wave pada kasut Wave Rider pertama yang dilancarkan pada 1997, menawarkan gabungan ciri kusyen dan kestabilan kepada pengguna.
![]()
Mizuno Sportstyle pula diperkenalkan pada 2016 sempena ulang tahun ke-110 jenama tersebut dengan membawa semula identiti serta teknologi kasut prestasi Mizuno ke dalam dunia fesyen harian.
Salah satu tarikan utama acara berkenaan ialah pengenalan WAVE PROPHECY RING MOC SETSUMASA KOBAYASHI, hasil kolaborasi khas bersama pereka Jepun dan pengasas MOUNTAIN RESEARCH, Setsumasa Kobayashi.
![]()
Rekaan tersebut menggabungkan inspirasi kasut moccasin tradisional dengan struktur tapak futuristik Mizuno Wave Prophecy. Dilengkapi bahagian atas yang lebih kemas serta tali berbentuk cincin di bahagian tengah kasut, model berkenaan menampilkan konsep “functional beauty” yang menekankan keseimbangan antara fungsi, pembinaan dan estetika.
Menurut Country Head Mizuno Malaysia, Mr Chow, pasaran sneaker tempatan yang semakin berkembang menjadikan Malaysia lokasi tepat untuk memperkukuhkan lagi kehadiran Mizuno Sportstyle.
Katanya, pelancaran tersebut bukan sekadar memperkenalkan koleksi baharu, tetapi menjadi langkah pertama dalam membina hubungan lebih dekat bersama komuniti sneaker, rakan niaga, media dan pencipta kandungan tempatan.
![]()
Para tetamu yang hadir turut berpeluang melihat koleksi tersebut secara dekat, memahami proses rekaan serta mengenali kisah di sebalik setiap model yang diperkenalkan.
Mizuno Sportstyle menerusi koleksi 2026 terus membawa pendekatan berbeza dalam dunia sneaker dengan mengekalkan identiti asal jenama yang berasaskan inovasi sukan, namun diterjemahkan dalam gaya yang lebih dekat dengan fesyen dan budaya moden.
![]()
Pelancaran ini menandakan permulaan fasa baharu Mizuno Sportstyle di Malaysia dengan lebih banyak aktiviti komuniti, kisah produk dan kolaborasi bakal diperkenalkan pada masa akan datang.