Syarikat pemasar produk gaya hidup pengguna, Oasis Home Holding Berhad, secara rasminya melakar sejarah apabila disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini, menandakan langkah besar ke arah pertumbuhan lebih mampan dalam industri runcit digital.

Saham syarikat yang tersenarai di bawah sektor Produk & Perkhidmatan Pengguna dibuka pada harga 28.5 sen melebihi harga terbitan asal iaitu 28 sen, dengan jumlah dagangan sebanyak 3.36 juta unit pada sesi awal dagangan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Teoh Yee Seang, menyatakan rasa penghargaan atas sokongan yang diterima daripada para pemegang saham dan pihak berkepentingan sejak awal penubuhan syarikat.

“Penyenaraian ini membuka lembaran baharu untuk Oasis Home. Kami komited untuk memperkukuh asas syarikat serta mencipta nilai jangka panjang kepada semua pemegang saham,” ujarnya.

Dalam tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2025 (9MFY25), syarikat mencatat pendapatan RM52.06 juta dengan keuntungan bersih RM8 juta, hampir menyamai prestasi setahun penuh bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 yang merekodkan RM54.82 juta hasil dan RM8.03 juta keuntungan.

Platform live commerce kekal sebagai penyumbang utama kepada prestasi ini, dengan sumbangan sebanyak RM35.07 juta atau 67.36% daripada jumlah keseluruhan pendapatan. Selain itu, penjualan melalui platform e-dagang pihak ketiga seperti Shopee dan Lazada menyumbang hampir RM10.39 juta, manakala laman web dan aplikasi mudah alih rasmi syarikat menjana RM4.44 juta.

Jualan secara fizikal dan kepada pelanggan korporat turut menyumbang secara kumulatif lebih RM2 juta.

Melihat potensi besar dalam pasaran digital, syarikat merancang untuk menubuhkan sekurang-kurangnya lima saluran live commerce baharu di platform seperti Facebook dan TikTok. Sebahagian daripada hasil penyenaraian sebanyak RM13.7 juta akan diperuntukkan untuk inisiatif ini, selain RM3.6 juta bagi pembinaan pusat pemenuhan pesanan (fulfilment centre) dan RM2 juta bagi menubuhkan ibu pejabat baharu.

Datuk Teoh menjelaskan bahawa langkah ini akan menyokong pertumbuhan operasi jangka panjang dan meningkatkan kecekapan dalam perkhidmatan pelanggan.

“Kami percaya pendekatan ini akan mengukuhkan kedudukan Oasis Home dalam pasaran digital yang semakin pesat,” katanya lagi.

Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap pemegang saham, Oasis Home turut menetapkan dasar pembayaran dividen minimum 30% daripada keuntungan bersih terkumpul syarikat.

MIDF Amanah Investment Bank Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi tawaran awam permulaan (IPO) syarikat.

Maklumat lanjut boleh didapati di: https://oasishome.com.my

[fbcomments]