Seorang rakyat Malaysia dilaporkan maut selepas dipercayai ditikam dalam satu pergaduhan berkumpulan yang membabitkan beberapa warga asing di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan, awal pagi Ahad.
![]()
Pergaduhan Libatkan 10 Warga Asing, Rakyat Malaysia Maut Ditikam
Menurut laporan Korea JoongAng Daily, pihak Balai Polis Eumseong telah menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
Suspek dipercayai terbabit dalam kes bunuh selepas didakwa menikam mangsa yang berusia lingkungan 20-an menggunakan sebilah pisau. Selain kes bunuh, lelaki itu turut disiasat atas beberapa kesalahan lain yang berkaitan dengan insiden berkenaan.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 3 pagi di sebuah jalan di Daeso-eup, daerah Eumseong. Siasatan awal mendapati pergaduhan tercetus antara dua kumpulan yang disertai suspek dan mangsa sebelum bertukar menjadi pergaduhan besar.
![]()
Difahamkan, kira-kira 10 individu dipercayai terlibat dalam insiden itu. Ketika pergaduhan berlaku, suspek didakwa mengeluarkan sebilah pisau sebelum menyerang mangsa. Akibat kejadian tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi individu mengalami kecederaan dan telah dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Selepas kejadian, suspek dipercayai melarikan diri ke sebuah kediaman berhampiran. Bagaimanapun, polis berjaya mengesannya dan membuat tangkapan kira-kira sejam kemudian.
Setakat ini, pihak polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar pergaduhan itu dengan mengambil keterangan daripada suspek serta beberapa individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.
Kredit: Sinar Harian