Keputusan berat terpaksa dibuat oleh pengasas kosmetik, Fara Sharina Zamari apabila memilih untuk membatalkan majlis perkahwinan anak perempuan tunggalnya demi keselamatan dan kesejahteraan anaknya.

Menurut Fara Sharina, dia lebih sanggup melihat majlis yang dirancang dibatalkan daripada membiarkan sesuatu yang lebih buruk berlaku selepas anaknya bergelar isteri.

Anak Dikasiar Tunang, Majlis Perkahwinan Terpaksa Dibatalkan

Fara Sharina, 37, berkata, majlis perkahwinan anaknya, Putri Fasha Felisa Mohd Izhan, 19, yang sepatutnya berlangsung kelmarin terpaksa dibatalkan selepas anaknya didakwa dikasari oleh tunang sehingga mengalami kecederaan fizikal. Insiden itu dipercayai berlaku pada 21 Februari lalu.

Meskipun segala persiapan majlis hampir siap sepenuhnya, dia mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangan anaknya dengan seorang pempengaruh susulan kejadian tersebut. Menurutnya, majlis berkonsepkan tema ‘English Style’ yang dirancang di Padang Polo, Kemumin terpaksa dibatalkan pada saat akhir.

Tambahnya, cincin pertunangan juga telah dipulangkan semula, manakala pihak lelaki tidak membantah keputusan tersebut. Dalam masa sama, ahli keluarga serta rakan-rakan rapat turut memahami situasi yang berlaku dan tidak banyak mengajukan pertanyaan berkaitan pembatalan majlis itu.

Fara Sharina turut memaklumkan bahawa tarikh 31 Mac dipilih sendiri oleh anaknya sebagai hari bahagia mereka, dengan wang hantaran yang telah dipersetujui sebanyak RM31,000.

Mengulas lanjut, dia mengakui amat sedih dengan apa yang menimpa anak sulung daripada empat beradik itu, selain terpaksa menanggung kerugian dianggarkan sekitar RM150,000. Jumlah tersebut melibatkan kos penganjuran majlis termasuk katering, pelamin serta pembelian busana untuk ahli keluarga.

Bagaimanapun, katanya, jumlah kerugian tersebut tidak setanding dengan trauma yang masih ditanggung anaknya sehingga kini. Menurutnya, seluruh keluarga kini sedang berusaha untuk memulihkan semangat Putri Fasha Felisa selepas insiden berkenaan.

Dia turut meluahkan rasa syukur kerana kejadian itu berlaku sebelum pasangan tersebut melangkah ke alam rumah tangga, meskipun mengakui perasaan sedih sebagai seorang ibu tidak dapat dielakkan.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa didakwa dikasari oleh bekas tunangnya, termasuk dipukul, dicekik, ditendang dan diseret sehingga menyebabkan lebam serta bengkak di seluruh badan.

Pada 18 Mac lalu, bekas tunangnya yang berusia 20 tahun telah dijatuhi hukuman denda RM1,500 selepas didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]