Isteri kepada bekas pemain boleh sepak negara Safee Sali iaitu Fitria Elfina Maharip , 44, dilaporkan telah diceraikan oleh suaminya itu melalui hantaran voice note pada 11 Februari lalu selepas diketahui telah bernikah secara senyap-senyap di Siam pada akhir Januari lepas.
Safee Sali Fail Nusyuz Terhadap Isterinya
Berdasarkan sumber yang dilihat dari Kosmo! Online, difahamkan Fitria Elfina telah mengalami penderaan mental sejak setahun yang lalu sebelum Safee memfailkan nusyuz ke atasnya dengan alasan meninggalkan dua orang anaknya dan pulang ke Batam, Indonesia.
“Saya tidak tinggalkan anak sebaliknya titipkan (meletakkan) di rumah anak buah saya. Ini susulan kedua-dua pasport mereka dipegang Safee. Dia (Safee) juga tidak halang saya untuk pulang (Batam). Saya balik ke Batam sebab mahu mengadu dan meminta ‘perlindungan’ daripada abang.
“Sudah setahun saya bertahan dan didera mental berhari-hari sebelum mengetahui Safee sudah berkahwin baharu secara sembunyi di Siam pada 26 Januari lalu,” katanya.
Isteri Dakwa Safee Sali Hantar Voice Lafaz Cerai, Nikah Baru Di Siam
Tambah Fitria Elfina yang ditemui di lobi Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor, beliau turut memaklumkan bahawa rumah tangga mereka mulai retak apabila Safee tidak membenarkannya membuat panggilan video sekitar Mac tahun lalu sebelum mengakui ingin bernikah dengan wanita lain yang didakwa banyak membantunya dalam karier selepas bersara dari dunia bola sepak.
“Saya ke Batam pada 7 Februari sambil menunggu kedatangannya disebabkan dia mahu berjumpa abang saya. Benda ini (pulang ke Batam) tidak boleh diclaim nusyuz sebab dia tahu saya balik rumah abang.
“Sebelum dia datang, dia lafaz cerai melalui voice note (pesanan suara) kepada saya pada 11 Februari lalu. Sekarang ini, saya pula dihalau dari rumah sewa di Puncak Alam disebabkan Safee Sali hanya membayar sehingga bulan ini sahaja,” luahnya lagi.
Beliau juga merasakan suaminya itu seperti langsung tidak menghargai pengorbanannya yang sudah menjadi peneman hidup selama 11 tahun bersama dua anak perempuannya.
“Kalau dia buat saya begini, macam sampah selepas 11 tahun mengabdi kepadanya dengan tidak boleh bekerja dan jaga anak sahaja. Apa yang awak rasa. Ketika ini, nafkah zahir juga tidak diberikan olehnya.
“Kini, saya amat bimbang apabila dua anak saya iaitu Shanika Salsabilah,9, dan Shania Safina, 7, tidak lagi bersekolah serta tidak tahu keberadaannya. Hanya surat anak yang dijumpai dalam kereta Safee jadi pengubat rindu,” jelasnya.
Sudah Sebulan Tidak Jumpa Anak-Anak
Sebelum ini Fitria Elfina mendedahkan bahawa beliau sudah lebih sebulan tidak berjumpa dengan puterinya selepas diambil Safee ketika ketiadaannya di rumah sebelum Safee bertindak memfailkan tuntutan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Difahamkan, Hakim Syarie Mohd. Nurulazhar Mohd. Tohar telah menetapkan 26 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes tuntutan nusyuz serta pendengaran kes lafaz cerai.
Sekadar info, Safee Sali dan Fitria Elfina telah berkahwin pada 21 Disember 2013 dan hasil dari perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan.
Sebelum ini, Safee Sali juga pernah mendirikan rumah tangga dengan Sabarina Yusof pada 2007 dan dikurniakan dua orang cahaya mata. Namun pada 2012 mereka dilaporkan telah berpisah.
Kredit: Kosmo! Online