Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) dipukul secara beramai-ramai di sebuah pasar di Kemaman, Terengganu. Kejadian yang berlaku di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, itu mengejutkan banyak pihak memandangkan mangsa yang menjadi sasaran kekerasan adalah seorang lelaki yang mengalami masalah mental.
Insiden tersebut menimbulkan kemarahan dalam kalangan warganet yang mengecam perbuatan tersebut sebagai tindakan yang amat kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Suami OKU Dipukul Teruk Di Pasar Tani Chukai, Isteri Luah Rasa Kecewa
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhammad Wan Ja’afar, mengesahkan bahawa pihak polis telah menahan empat individu yang terlibat dalam kejadian tersebut dan sedang menyiasat kes itu. Tiga saksi awam juga telah diambil keterangan bagi membantu siasatan lanjut.
Berdasarkan maklumat awal, pergelutan antara mangsa dan sekumpulan individu itu dipercayai berpunca daripada perselisihan yang berlaku di pasar tersebut.
Isteri kepada mangsa, Faridah, meluahkan rasa kesalnya terhadap tindakan brutal itu. Menurutnya, suaminya, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, sudah beberapa kali memohon maaf, namun pihak yang terlibat tetap terus memukulnya. Faridah turut menceritakan detik-detik menyayat hati ketika suaminya meminta air untuk membersihkan matanya yang pedih selepas dicurahkan mi goreng, namun sebaliknya dia disepak di kepala.
Faridah menegaskan bahawa perbuatan tersebut jelas menunjukkan sikap tidak berhati perut dan sangat tidak wajar, terutama memandangkan suaminya adalah seorang OKU mental.
Faridah yang merupakan ibu kepada lima anak, turut mempersoalkan mengapa individu terbabit tidak menyelesaikan masalah secara baik. Menurutnya, sekiranya suaminya benar-benar telah melanggar sebuah gerai makanan, mereka sepatutnya bertemu dengan dirinya untuk berbincang dan menyelesaikan perkara tersebut secara aman. Faridah turut menyatakan bahawa dia bersedia untuk membayar ganti rugi atas kerosakan yang berlaku, sekiranya itu yang diperlukan.
Faridah turut menjelaskan bahawa sepanjang 25 tahun hidup bersama, suaminya yang mempunyai kekurangan mental itu tidak pernah melupakan solat dan sering ke masjid untuk solat berjemaah. Jelasnya, suaminya adalah seorang yang baik dan tidak pernah berniat jahat, oleh itu dia amat terkejut dengan kekejaman yang dilakukan terhadap suaminya.
Kredit: Kosmo!, Berita Harian