Majlis resepsi perkahwinan Bella Astillah, 32, dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 34, yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bertukar sebak apabila anak-anak Bella, Mohamed Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6, menyampaikan ucapan istimewa buat pasangan berkenaan.

Ucapan Ayden Buat Syed Saddiq Undang Sebak, Luah Syukur Lihat Bella Astillah Kembali Bahagia

Menerusi ucapan penuh emosi, Ayden meluahkan rasa syukur melihat ibunya kembali tersenyum dan menjalani kehidupan dengan lebih gembira selepas kehadiran Syed Saddiq dalam keluarga mereka. Dia turut mengakui ketika masih kecil, dirinya tidak begitu memahami keadaan yang berlaku, namun menyedari kesedihan yang pernah dilalui ibunya.

“Saya Ayden, dari dalam hati ini mengucapkan kepada daddy, kamu hadir dalam kehidupan kami sekeluarga ketika saya masih kecil dan kadang-kadang saya juga tidak memahami apa sedang berlaku. Saya cuma melihat mommy bersedih. Sebagai anak lelaki, saya sekarang nampak mommy sudah tersenyum semula dan dengan adanya awak, mommy juga kini banyak ketawa serta sangat gembira,” ujarnya.

Ayden turut merakamkan penghargaan kepada Syed Saddiq kerana menerima Bella sebagai pasangan hidup serta menyayangi mereka dua beradik dengan tulus. Dalam masa sama, dia menyampaikan rasa kasih kepada ibunya yang selama ini menjaga mereka dengan baik, selain mendoakan agar perkahwinan pasangan itu sentiasa mendapat rahmat Allah SWT.

“Terima kasih sudah memilih mommy dan memberikan kami kebahagiaan kembali. Mommy, saya sangat sayangkan awak kerana menjaga kami dengan sangat baik. Kepada daddy, terima kasih menyayangi kami dan mommy,” katanya dalam ucapan tersebut.

Dia turut mengakhiri ucapannya dengan mendoakan kebahagiaan rumah tangga pasangan itu sambil menyatakan bahawa dia dan Ara menyayangi kedua-duanya.

Resepsi yang dihadiri kira-kira 3,000 tetamu itu turut dimeriahkan dengan persembahan daripada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Didi Astillah serta vokalis Nidji, Muhammad Yusuf Nur Ubay atau lebih dikenali sebagai Ubay. Majlis berkenaan juga menyaksikan kehadiran rakan selebriti, pemimpin negara dan barisan menteri.

Untuk rekod, Syed Saddiq dan Bella sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada 10 Oktober lalu dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Menara Merdeka Maybank.

Pasangan itu turut merancang untuk mengadakan dua lagi majlis resepsi bertemakan Kenduri Rakyat di kampung halaman masing-masing, iaitu di Muar, Johor pada 25 Oktober dan Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober.

Kredit: Berita Harian

 

 

 

[fbcomments]