Suasana hiba menyelubungi Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian apabila petugas kesihatan mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, menerusi upacara penghormatan dikenali sebagai ‘Honor Walk’ awal pagi tadi.

Disahkan Mati Otak, Keluarga Muhammad Aidil Reda Dermakan Beberapa Organ

Penghormatan itu diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap keputusan keluarga Allahyarham yang bersetuju membenarkan beberapa organ arwah didermakan bagi membantu pesakit lain yang memerlukan.

Sebagai simbolik kepada proses pendermaan organ berkenaan, bangunan hospital turut diterangi cahaya lampu berwarna hijau. Orang ramai dan kenalan Allahyarham juga hadir untuk memberikan penghormatan terakhir sebelum proses pembedahan dilakukan. Difahamkan, pembedahan pengambilan organ bermula kira-kira jam 10.45 malam sebelum selesai sekitar jam 1 pagi.

Sementara itu, ahli keluarga Allahyarham, Siti Hawa menerusi satu hantaran di Facebook menjelaskan keputusan pendermaan organ dibuat selepas pihak doktor memberikan penerangan lanjut berhubung keadaan sebenar Muhammad Aidil.

Menurutnya, berlaku salah faham antara pihak keluarga dan doktor pada hari kejadian sebelum mereka memahami perbezaan antara kematian jantung dengan kematian otak. Jelasnya, Allahyarham disahkan mengalami kematian otak walaupun beberapa organ lain masih berfungsi dengan baik.

Bagaimanapun, fungsi organ berkenaan bergantung kepada bantuan mesin pernafasan dan sekiranya mesin itu dihentikan, Allahyarham tidak lagi mampu bernafas sendiri.

“Jadi, dalam erti biologi, Aidil memang sudah tiada. Kes Aidil merupakan satu dalam 10,000,” katanya.

Susulan penjelasan itu, keluarga mengambil keputusan untuk membenarkan pihak hospital mendermakan beberapa organ Allahyarham sebagai amal jariah yang diharapkan dapat memberi manfaat berterusan buat arwah. Siti Hawa turut menyifatkan adiknya sebagai insan terpilih dan berharap sumbangan tersebut menjadi bekalan kebaikan buat Allahyarham.

Dalam hantaran sama, beliau memaklumkan jenazah adiknya dijangka dikebumikan selepas selesai proses pembedahan terakhir, sekiranya tiada sebarang halangan. Keluarga turut memohon orang ramai agar terus menitipkan doa buat Allahyarham sepanjang urusan pengebumiannya.

Terdahulu, Muhammad Aidil yang bekerja di sebuah kafe di Kota Bharu dimasukkan ke HPUSM selepas mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya sebelum disahkan mengalami kematian otak.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]