Kes kematian seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun yang sebelum ini mencetuskan perhatian selepas rakaman video memaparkan dirinya dipercayai didera beberapa individu tular di TikTok kini memasuki prosiding mahkamah apabila anak lelaki dan menantunya dihadapkan atas pertuduhan membunuh mangsa.

Kedua-dua tertuduh, B Balamurali, 32, dan isterinya, S Sangitha, 34, hadir di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi menghadapi pertuduhan berhubung kematian K Balakrishnan.

Video Lelaki Warga Emas Didera Tular, Anak Dan Menantu Didakwa Bunuh Bapa

Ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli, kedua-duanya dilihat mengangguk sebagai tanda memahami pertuduhan. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan membunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa membunuh Balakrishnan di sebuah rumah flat di Rasah Jaya kira-kira jam 11 malam pada 3 November lalu. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun. Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, mereka juga boleh dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, M Pusppa tidak menawarkan jaminan terhadap pasangan berkenaan memandangkan pertuduhan membunuh merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin. Mahkamah turut tidak membenarkan mereka diikat jamin dan menetapkan 19 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.

Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung satu rakaman video di TikTok yang memaparkan seorang lelaki berusia lingkungan 60-an dipercayai menjadi mangsa penderaan beberapa individu.

Kes itu mula mendapat perhatian selepas seorang wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang melihat rakaman berkenaan mengambil inisiatif pergi ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat lanjut. Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, individu terbabit mendapati upacara pengebumian sedang berlangsung dan mengesyaki mayat yang hendak dikebumikan itu merupakan lelaki sama seperti dalam video tular berkenaan.

Keadaan upacara yang dijalankan secara tergesa-gesa menimbulkan keraguan sehingga pengebumian tersebut dihentikan dengan bantuan pihak polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]