Pengambilan sarapan sememangnya penting untuk memulakan rutin harian seseorang itu, namun rakyat Malaysia perlu berhati-hati dengan gaya pemilihan makanan yang bersesuaian atas faktor kesihatan di masa hadapan kelak.

Terdapat pelbagai jenis menu sarapan pagi yang digilai oleh masyarakat Malaysia, dan sudah pasti ia temasuklah menu santapan seperti Nasi Lemak, Roti Canai, Kuih Muih, Dan Masakan Goreng-goreng.

Nasi Lemak

Nasi lemak adalah antara menu sarapan yang paling popular untuk semua kaum dan bangsa. Malah ia juga sering dijadikan menu wajib bagi seseorang itu untuk mengambil nasi lemak sebagai santapan pagi. Namun, adakah anda tahu berapakah jumlah kalori yang terkandung dalam nasi lemak ini?

Sepinggan hidangan nasi lemak bersamaan dengan 389 kalori, dan ini adalah anggaran untuk jumlah kalori bagi sepinggan nasi lemak tanpa ada nasi tambahan atau lauk tambahan yang lain.

Menurut sumber Hellodoktor, jika hidangan ini ditambah dengan pelbagai jenis lauk beserta minuman manis, kalori yang terkumpul boleh mencecah jumlah 1,000 kalori bagi satu set hidangan.

Roti Canai

Seperti yang anda tahu, roti canai adalah hidangan yang paling senang dan cepat untuk didapati di mana-mana restoran, tidak kira pada waktu pagi, petang ataupun malam. Roti canai yang sememangnya dimakan dengan kuah dal atau sambal telah menjadi kegemaran buat semua rakyat Malaysia tidak kira berapa pun umurnya. Namun adakah anda tahu roti canai ini digoreng menggunakan minyak sawit yang mempunyai kandungan lemak tepu?

Jumlah kalori yang terkandung dalam hidangan roti canai ini adalah sebanyak 300 kalori, tidak termasuk kuah-kuah yang disediakan untuk dicecah.

Menurut sumber Bidadari.my, jumlah kalori bagi hidangan penuh roti canai bersama kuahnya boleh mencecah setinggi 900 kalori bagi sekeping roti. Ia tidak termasuk lagi dengan air manis yang anda biasa pesan untuk dimakan bersama.

Kuih Muih

Kewujudan kuih muih ini datangnya sejak zaman dahulu lagi, bahkan ianya adalah satu menu tradisional bagi orang kaum Melayu dan digemari oleh seluruh rakyat Malaysia. Walaupun begitu, adakah anda tahu bahawa seketul kuih sahaja sudah boleh mencecah 100 kalori? Ini adalah faktor yang bakal dibongkarkan.

Menurut sumber Newswav.com, kalori sebiji donat bersamaan dengan 290 kalori, Keria bersamaan 90 kalori per biji, Karipap mengandungi 128 kalori sebiji, Seri Muka mempunyai 187 kalori per biji, lepat pisang bersamaan 129 kalori dan banyak lagi. Ini adalah antara jenis-jenis kuih yang paling popular dan sering dijual di mana-mana tempat, tidak kira di bahu jalan ataupun di gerai-gerai.

Makanan Bergoreng

Nasi goreng dan mi goreng adalah menu sarapan yang paling laris buat individu yang sudah bekerja kerana mereka memerlukan makanan yang boleh membekalkan sumber tenaga yang banyak untuk mengekalkan mereka segar dan aktif. Walaupun begitu, ini adalah jumlah kalori yang terkandung didalamnya yang perlu anda tahu.

Menurut sumber Kalorimakanan.com, sepinggan nasi goreng bersamaan dengan 637 kalori, manakali mi goreng memperoleh kalori sebanyak 281. Dua jenis hidangan ini sangat berkalori tinggi kerana ianya mengandungi sumber karbohidrat yang banyak, serta penggunaan minyak yang berlebihan.

Kesemua makanan yang sudah dibongkarkan di atas tidak akan memberi kesan buruk kepada kesihatan anda jika mampu mengawal cara pengambilan makanan yang betul dan seimbang. Paling penting, amalkan gaya hidup sihat dengan bersenam mampu meningkatkan metabolisme anda dengan lebih baik demi masa hadapan yang cerah di hari tua.

Kredit: Portal Hellodoktor, Bidadari.my, Newswav.com dan Kalorimakanan.com

[fbcomments]