Mahkamah Tinggi Melaka membenarkan semakan terhadap hukuman yang dikenakan ke atas seorang pengawal keselamatan yang sebelum ini didenda RM1,500 kerana mencuri barangan keperluan di sebuah pasar raya.
Dalam keputusan yang dibuat pada Khamis minggu lalu, hakim Datuk Justice Suria Kumar memutuskan hukuman denda tersebut digantikan dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun.
![]()
Mahkamah Tinggi Ganti Denda RM1,500 Dengan Bon Berkelakuan Baik
Mahkamah memerintahkan Mohamad Ghazali Maidin, 47, dilepaskan dengan bon mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah bermula 5 Februari, dengan seorang penjamin tetapi tanpa sebarang cagaran. Wang denda yang telah dijelaskan sebelum ini turut diarahkan supaya dipulangkan semula kepada tertuduh.
Terdahulu, pada 27 Januari lalu, Mohamad Ghazali mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri satu pencuci pakaian, dua tin susu tepung dan sebotol syampu bernilai keseluruhan RM131.50 di sebuah pasar raya pada jam 10.30 pagi, 21 Januari. Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
![]()
Dalam prosiding semakan jenayah itu, pihak pembelaan yang diwakili peguam Goh Han Koon berhujah agar mahkamah mengambil pendekatan lebih bersifat pemulihan serta mempertimbangkan prinsip undang-undang yang relevan. Menurutnya, bon berkelakuan baik bukan bermakna tertuduh dilepaskan tanpa syarat, sebaliknya merupakan peluang kedua yang tertakluk kepada pematuhan syarat tertentu.
Seorang lagi peguam, Amritpal Singh, turut menegaskan bahawa Mohamad Ghazali adalah pesalah kali pertama dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Selain itu, beliau berhujah tempoh tahanan selama tiga hari yang telah dilalui tertuduh memadai sebagai pengajaran. Difahamkan, semua barangan yang dicuri termasuk susu tepung telah dipulangkan semula kepada pasar raya terbabit dan tertuduh juga memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan.
Kredit: Sinar Harian